SUBANG, 2 Okt- Seramai 206 anggota dan pegawai kumpulan pertama pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-8 (MALBATT 850-8) selamat tiba di tanah air selepas berakhirnya operasi penugasan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan.
Ketibaan kumpulan pertama yang diketuai Mejar Salion Mamat telah disambut oleh Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Yazid Arshad TUDM di Pangkalan Udara Subang, pada Jumaat.
Pesawat Malaysia Airlines yang membawa kumpulan pertama ini telah berlepas dari Beirut, Lubnan pada jam 7.44 pagi dan selamat tiba di Malaysia pada jam 6.08 petang.
Panglima Angkatan Bersama yang mewakili Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh anggota MALBATT 850-8 kerana telah berjaya melaksanakan tugas di Lubnan dengan selamat.
“Tugasan sebagai anggota pengaman dalam tempoh jangkamasa 12 bulan yang bermula pada 1 Oktober 2020 lalu telah dilaksanakan dengan efektif, efisien dan menunjukkan kerjasama teguh di antara pasukan pemerhati kontinjen dari negara-negara lain termasuk Angkatan Tentera Lubnan serta juga rakyat setempat,
“Jasa dan pengorbanan para perwira MALBATT 850-8 akan sentiasa dikenang dan tercatat dalam lipatan sejarah di atas sumbangan bakti mereka kepada negara,” katanya dalam ucapan semasa Majlis Sambutan Kepulangan Kumpulan pertama MALBATT 850-7, semalam.
Turut hadir, Komander Pangkalan Udara Subang, Brigedier Jeneral Omar Dawami TUDM yang mewakili Panglima Tentera Udara, Pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Pegawai-pegawai Kanan ATM.
Pada Khamis lalu, kumpulan pertama MALBATT 850-9 yang melibatkan 219 anggota dan pegawai dan diketuai Kolonel Megat Maz Ardi Nohuddin telah berlepas ke Lubnan.
MALBATT 850-9 akan meneruskan misi UNIFIL di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat UNIFIL dan ditempatkan di Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin. Kotinjen ini akan melaksanakan tugas-tugas operasi yang diberikan oleh UNIFIL khususnya di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan misi pengaman Malaysia ke Lubnan pada kali ini menampilkan penglibatan jumlah anggota wanita paling ramai sejak ATM terlibat dalam misi UNIFIL. -airtimes.my