Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Op Benteng: TLDM tahan 10 PATI Indonesia di perairan Tanjung Punggai

Op Benteng: TLDM tahan 10 PATI Indonesia di perairan Tanjung Punggai

by Air Times News Network

KOTA TINGGI, 30 Sept – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menahan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia di perairan Tanjung Punggai, Johor, malam tadi.

Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat dalam kenyataan berkata, Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) telah mengesan kewujudan sebuah kontak yang mencurigakan di sekitar perairan Tanjung Penyusup pada jam 10 malam tadi.

“Maklumat pengesanan lantas disalurkan oleh Area Control Centre (ACC) Johor kepada KD GANYANG di lapangan untuk tindakan lanjut,

“KD GANYANG seterusnya telah mengkoordinasikan aset TLDM iaitu Fast Combat Boat (FCB) 1123 bersama aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu PERKASA 30 bagi menyiasat kontak curiga tersebut,” katanya.

Menurutnya, kira-kira 20 minit kemudian, FCB 1123 dan radar SWASLA telah berjaya mengesan sebuah kontak dipercayai bot yang membawa sekumpulan 3 lelaki dan 7 perempuan berusia 20 sehingga 40 tahun atas kesalahan menceroboh negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan.

“Sebaik menghampiri, bot tersebut cuba melarikan diri, namun hasil kecekapan serta keupayaan FCB 1123, bot tersebut telah berjaya ditahan di perairan Tanjung Punggai,

“2 tekong bot tersebut telah terjun ke laut sementara penumpang bot yang dipercayai PATI berjaya ditahan. Operasi Carilamat telah diaktifkan bagi mencari 2 tekong tersebut,” ujarnya.

Katanya, kesemua PATI telah dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang dan seterusnya telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk ujian saringan COVID-19 dan juga siasatan lanjut. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply