Home Pertahanan dan Keselamatan APMM rampas 162 set bubu naga, tahan 6 nelayan tempatan

APMM rampas 162 set bubu naga, tahan 6 nelayan tempatan

by Air Times News Network

LUMUT, 30 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, berjaya merampas 136 set bubu naga dan bot di perairan Pantai Remis, awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, rampasan dibuat menerusi rondaan bot Operasi Pintas (Op Pintas) dan Operasi Sayong (Op Sayong) yang mengesan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran di kedudukan 2.0 batu nautika barat laut Pulau Talang, Perak.

“Seramai 3 kru warga tempatan berumur lingkungan 20 hingga 25 tahun telah ditahan bersama hasil tangkapan dianggarkan 10 kilogram dirampas,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, pada 26 September lalu, sebanyak 26 set bubu naga juga turut dirampas di sekitar kawasan yang sama dan menjadikan keseluruhan rampasan 162 set di sekitar kawasan Pulau Talang.

“Bot gentian kaca yang mempunyai nombor pendaftaran itu sedang menurunkan bubu naga tanpa menyedari kehadiran APMM,

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot terbabit dikendalikan 3 kru melibatkan seorang warga tempatan manakala 2 kru warga Myanmar,” ujarnya.

Sharizan berkata, kesemua mereka boleh didakwa di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 Seksyen 11(3)(c) iaitu menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

“Penangkapan ikan atau hasil laut menggunakan bubu naga boleh mengancam pertumbuhan habitat marin dan berpotensi pupus serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai,” jelasnya.

Menurut Sharizan, sepanjang 3 hari operasi tersebut, APMM telah menahan 6 orang kru dan merampas bubu naga serta bot yang dianggarkan bernilai RM19,440. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply