Home Pertahanan dan Keselamatan ESSZONE: Perintah berkurung dilanjutkan, elak pencerobohan pengganas

ESSZONE: Perintah berkurung dilanjutkan, elak pencerobohan pengganas

by Nurulhuda

KOTA KINABALU. 27 Sept – Perintah berkurung di kawasan perairan 7 daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dilanjutkan bagi mengekang kegiatan kumpulan militan Abu Sayaf yang cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata, perintah berkurung meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran yang berakhir hari ini akan dilanjutkan sehingga 12 Oktober depan.

Beliau berkata, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar antara 6 petang hingga 6 pagi.

“Perintah ini diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan,

“Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan Kidnapping For Ransom (KFR) dan kumpulan Abu Sayaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Idris turut berkata, perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZONE.

Tambahnya ia juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE bagi mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu,” jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply