Home Pertahanan dan Keselamatan Postur defensif bukan penghalang untuk bertindak jika kedaulatan terancam – Panglima Angkatan Tentera

Postur defensif bukan penghalang untuk bertindak jika kedaulatan terancam – Panglima Angkatan Tentera

by M.Daim

PORT DICKSON, 22 Sept – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM hari ini menegaskan postur pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bercorak defensif bukan penghalang untuk pasukan itu bertindak balas jika kedaulatan negara tergugat.

Jelasnya, kesiagaan ATM hendaklah berada di tahap yang tertinggi sepanjang masa bagi memenuhi keperluan tersebut.

“Walaupun postur ketenteraan negara mengamalkan ciri defensif, ia tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada
kita untuk mengambil tindakan (coercive) yang berkadaran (proportionate) sekiranya kepentingan dan kedaulatan negara yang kita cintai ini digugat,” kata Affendi semasa menyampaikan perutusan bersempena Perbarisan Hari ATM ke-88 di Kem Segenting, Port Dickson, hari ini.

Beliau menambah, usaha menambah baik dokumen Strategi Ketenteraan Negara (SKN) 2.0 kini berada di peringkat akhir.

“SKN 2.0 adalah instrumen aplikasi kuasa ketenteraan yang mendokong kuasa negara,

“Ia bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur,” katanya.

Menurut Affendi, SKN 2.0 memberi tumpuan kepada reformasi Angkatan Masa Hadapan melalui ciri-ciri yang meliputi kebersamaan, kebolehoperasian, berasaskan teknologi, keupayaan untuk beroperasi serentak dalam dua wilayah dan ia berorientasikan misi.

“Reformasi Angkatan Masa Hadapan ini hendaklah dilaksanakan secara terperinci dan holistik mengguna pendekatan reka bentuk (Force Design),

“Ia mesti dipacu oleh hala tuju jelas yang realistik, dan pembangunan angkatan yang menggabungkan keseluruhan mekanisme sumber manusia, kelengkapan dan proses (People, Platform, Process),” ujar beliau.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menyempurnakan sambutan Hari ATM ke-88 di Kem Segenting, Port Dickson, hari ini.

Jelas Affendi, pelan tindakan pembangunan angkatan yang baharu ini dikenali dengan nama ACE 30 (ace thirty).

Ia merangkumi penjajaran (Allign), penentukuran (Calibrate) serta proses perkembangan secara progresif (Evolve) dan garis masa pelaksanaannya bermula dari 2020 sehingga 2030.

Beliau menyeru semua peringkat dalam ATM untuk memberikan komitmen dalam pelan pembangunan ini.

“Dalam kesungguhan mencapai kearah Angkatan Masa Hadapan ini, saya ingin mengingatkan, bahawa perancangan, pembangunan, dan perolehan pertahanan hendaklah dilaksana secara menyeluruh,

“Kegagalan untuk mencapai matlamat ini akan memerangkap ATM ke arah menjadi sebuah Angkatan Lompong,

“Lebih buruk, sekiranya ia tidak ditangani, maka hasrat untuk menjadi Angkatan Masa Hadapan akan terhalang dan berkemungkinan besar tidak akan tercapai,” katanya.

Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera menyempurnakan sambutan Hari ATM ke-88 di Port Dickson.

Sambutan ini melibatkan 2,500 anggota tentera dan merangkumi Latihan Kesiagaan Aset dan Kompetensi ATM sebelum disusuli dengan Perbarisan Statik Tempur. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply