[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=ze9IwkubpM0[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 22 Sept – Kerajaan akan mendapatkan pandangan daripada China, khususnya dalam aspek pertahanan berhubung pembentukan kerjasama antara Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom (AUKUS) yang ditubuhkan pada 16 September lalu.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pihaknya bercadang untuk melakukan lawatan kerja ke negara republik itu dalam masa terdekat bagi membincangkan mengenai perkara berkenaan.
“Saya bercadang dalam tempoh terdekat ini untuk melakukan lawatan kerja singkat ke China bagi mendapatkan pandangan kepemimpinan khususnya pertahanan negera tersebut,
“Apa pandangan mereka terhadap AUKUS yang telah diumumkan 3 negara tersebut dan apa tindakan mereka susulan daripada apa yang diumumkan,
“Kita akan cuba menelitinya, namun ia bukan perkara mudah bagi mengimbangi 2 kuasa besar untuk melihat kedudukan kedaulatan keselamatan kita di rantai ini dapat dipertahankan,” katanya pada sesi penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, Malaysia juga sudah dihubungi oleh Menteri Pertahanan Australia, Peter Dutton mengenai AUKUS dan Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).
“Dua hari lalu, saya telah mengadakan perbualan telefon dengan Menteri Pertahanan Australia dan turut menasihati beliau selain mendekati Malaysia adalah penting untuk mendekati Brunei sebagai Pengerusi ASEAN,” tambahnya. -airtimes.my