Home Pertahanan dan Keselamatan Tentera Darat Malaysia tamatkan khidmat Pasukan Bertindak Khas COVID-19 Lembah Klang

Tentera Darat Malaysia tamatkan khidmat Pasukan Bertindak Khas COVID-19 Lembah Klang

by M.Daim

SERDANG, 16 Sept – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menamatkan tugas Pasukan Bertindak Khas yang lebih dikenali sebagai Greater Klang Valley Task Force (GKV TF), semalam.

TDM dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya berkata, GKV TF telah berjaya mencapai objektif mereka berikutan penurunan jumlah kes positif dan kematian akibat COVID-19 di kawasan Lembah Klang.

“Jumlah kes positif dan kematian melibatkan COVID-19 di tiga kawasan tersebut, telah menurun dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Lembah Klang meliputi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

GKV TF telah ditubuhkan oleh TDM pada 6 Ogos 2021 dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang pada ketika itu memegang jawatan sebagai Menteri Kanan Pertahanan.

Menurut TDM, Pasukan Bertindak Khas ini melibatkan seramai 1,000 orang anggota tentera. Ia ditubuhkan bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangani penularan wabak COVID-19 di kawasan Lembah Klang.

Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran telah menyempurnakan Acara Penamatan Operasi GKV TF di Markas Taktikal GKV TF, MAEPS, Serdang, semalam. Foto: Tentera Darat Malaysia

“Ia terdiri daripada  750 anggota sebagai petugas utama dan 250 anggota sebagai pasukan sokongan,

“Petugas utama GKV TF, dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu; Oxygen Supply Carrier (OSCAR), Rapid Resuply Team (RRT) dan Body Management Team (BMT),” jelasnya.

Tambahnya, Kumpulan OSCAR dan RRT adalah bertanggungjawab di dalam pengurusan dan pembekalan tangki oksigen, sementara kumpulan BMT pula terlibat di dalam pengurusan mayat pesakit COVID-19.

“Tugasan yang dijalankan secara bersepadu bersama-sama kakitangan KKM telah melancarkan dan membuahkan kejayaan dalam usaha membendung penularan wabak pandemik ini di dalam kawasan Lembah Klang,” ujarnya.

Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran telah menyempurnakan Acara Penamatan Operasi GKV TF di Markas Taktikal GKV TF, MAEPS, Serdang, semalam. – airtimes.my

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply