Home Pertahanan dan Keselamatan Vaksin: ATM aturgerak 25 pasukan CMVT di 92 pendalaman Sabah, Sarawak

Vaksin: ATM aturgerak 25 pasukan CMVT di 92 pendalaman Sabah, Sarawak

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Sebanyak 25 pasukan Vaksinasi Perubatan Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau Army Combat Medic Vaccination Team (CMVT) telah diaturgerakan di pendalaman Sabah dan Sarawak bagi membantu kerajaan negeri dalam mencapai sasaran imuniti kelompok dalam program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi hantaran di media sosialnya berkata, pasukan berkenaan telah berada di 92 buah penempatan dan berupaya melaksanakan suntikan sebanyak 11,001 dos vaksin kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kepakaran yang dimiliki anggota tentera, aset serta kelengkapan logistik yang mencukupi menjadi keutamaan pasukan ini untuk membantu petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencapai kawasan-kawasan pendalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Setakat ini, sebanyak 25 pasukan CMVT telah diaturgerak iaitu 18 di Sarawak dan 7 di Sabah. Alhamdulillah, pasukan berkenaan telah sampai ke 92 penempatan dan berupaya melaksanakan suntikan sebanyak 11,001 dos vaksin kepada penduduk di sana,

“Tiada istilah berundur sebelum selesai dalam disiplin penugasan ATM. Saya telah tegaskan baru-baru ini, usaha membantu KKM untuk memberi vaksin kepada penduduk di kawasan pedalaman akan dilipatgandakan dan ACMVT akan ditambah mengikut keperluan KKM,” jelasnya.

Selain CMVT, ATM menerusi Tentera Darat Malaysia (TDM) juga telah melaksanakan pemberian vaksin secara pandu lalu bagi membantu KKM.

Hishammuddin berkata, sebanyak 13 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) jenis pandu lalu telah dibuka ATM di seluruh negara iaitu 8 di Semenanjung, 2 di Sarawak dan 3 di Sabah.

“Dengan adanya PPV jenis pandu lalu ini, sebanyak 44,853 dos suntikan telah selesaikan diberikan,

“Kini kapasiti pemberian vaksin secara pandu lalu ini akan ditingkatkan lagi termasuk bagi manfaat masyarakat awam, sejajar dengan kenyataan saya pada 2 September lepas,

“ATM kini sedang menunggu pengesahan lokasi oleh pihak Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF),” tambahnya.

Related Articles

Leave a Reply