Home SemasaGlobal Duta Rusia: Konflik Taliban – Daesh di Afghanistan tidak akan berakhir dengan mudah

Duta Rusia: Konflik Taliban – Daesh di Afghanistan tidak akan berakhir dengan mudah

by M.Daim

MOSKOW, 30 Ogos – Duta Rusia ke Afghanistan, Dmitry Zhirnov menegaskan serangan pengebom bunuh diri di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul pada Khamis lalu adalah mesej jelas Daesh kepada Taliban.

“Mereka (Daesh) sebenarnya memberi mesej untuk mencabar Taliban, bukan Amerika Syarikat. Ini kerana Taliban telah mengambil alih tanggungjawab di Afghanistan,

“Konflik di antara Daesh dan Taliban tidak akan berkesudahan,” kata Dmitry yang dipetik oleh agensi TASS.

Tambahnya, serangan tersebut secara tidak langsung mencalar reputasi Taliban.

“Secara asasnya, Taliban tidak boleh dipersalahkan secara sepenuhnya dengan apa yang berlaku di kawasan lapangan terbang,

“Tetapi, serangan ini mencalar imej Taliban. Mereka baharu sahaja menguasai Kabul dan insiden ini terus berlaku,

“Dalam pengetahuan saya, seramai 2 orang militan Daesh telah ditahan yang dipercayai warganegara Malaysia,

“Saya percaya, Taliban akan terus memburu dan bertindak balas terhadap Daesh. Taliban sudah tentu tidak mahu insiden yang sama berulang,” ujarnya.

Di Rusia, Kumpulan Taliban dan Daesh diklasifikasikan sebagai kumpulan pengganas.

Serangan yang dilancarkan pada Khamis lalu telah mengorbankan 110 nyawa rakyat Afghanistan dan 13 anggota tentera AS.

Lantaran daripada itu, Taliban dan AS masing-masing melancarkan operasi untuk memburu Daesh di Afghanistan.

Pada Sabtu lalu, Ketua Perisikan Taliban, Maulawi Saifullah menyatakan mereka telah menahan 6 operatif Daesh yang terdiri daripada 4 warga Afghanistan dan 2 warga asing dipercayai dari Malaysia.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani menyatakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengemukakan permohonan kepada agensi keselamatan luar negara bagi mengesahkan dakwaan oleh Maulawi.

Sehingga kini, Taliban tidak menyatakan sebarang pengesahan secara rasmi berhubung dakwaan itu. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply