Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan kapal tangki bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor

APMM tahan kapal tangki bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 12 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor menahan sebuah kapal tangki yang disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki yang berdaftar dari Pelabuhan Klang itu ditahan oleh aset APMM yang sedang melaksanakan rondaan operasi sekitar jam 11.25 pagi di kedudukan 4.1 batu nautika timur laut Tanjung Punggai, Johor.

Beliau berkata, kapal tangki tersebut dikendalikan oleh 9 kru warga Indonesia dan 2 kru tumpangan warga tempatan berumur antara 20 tahun hingga 40 tahun.

“Kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa,

“Namun, nakhoda kapal terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kesemua kru dan kapal tangki ditahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana disyaki bersauh tanpa kebenaran.

“Sekiranya didapati bersalah, boleh dikenakan denda tidak melebih RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Nurul Hizam mengingatkan sekali lagi bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dalam menjalankan tugasan dan sentiasa serius dalam melaksanakan tanggungjawab bagi menjaga kedaulatan serta keselamatan perairan negara. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply