Home Pertahanan dan Keselamatan Pasukan CMTV ATM bantu capai imuniti kelompok vaksinasi di Sarawak

Pasukan CMTV ATM bantu capai imuniti kelompok vaksinasi di Sarawak

by Nurulhuda

KAPIT, 6 Ogos – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus membantu kerajaan dalam mensasarkan imuniti kelompok bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terutamanya di kawasan pendalaman Sarawak

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan dan kerjasama semua pihak terutama pasukan Combat Medic Vaccination Team (CMTV) ATM serta sambutan rakyat terhadap program tersebut mampu mencapai imuniti kelompok pada pertengahan Ogos atau September ini.

“Program pemberian vaksin di perkampungan tersebut dikendalikan oleh pihak tentera dengan kerjasama pelbagai pihak, khususnya pihak pentadbiran Bahagian Kapit,

“Pemberian vaksin di pedalaman Sarawak turut banyak dibantu oleh CMVT ATM yang kini berjaya memberikan suntikan vaksin kepada lebih 7 ribu penduduk,

“Pasukan sama ini juga ke Pasai Siong di Sibu bagi memberikan suntikan vaksin kepada penduduk di lokasi tercetusnya kluster terbesar Sarawak, Kluster Pasai,” katanya selepas membuat lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Combat Medic Vaccination Team (CMTV) di perkampungan kaum Kenyah, sempadan Sarawak dan Kalimantan di Hulu Baleh, pada Khamis.

Beliau meluahkan rasa berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan program pemberian vaksin di Sarawak yang mendahului negeri-negeri lain dalam program tersebut.

“Di Bahagian Kapit saya diberitahu mereka telah capai dos kedua 84 peratus bermakna herd Immunity sudah ada di bahagian Kapit,

“Minggu lepas saya berada di Nanga Jagau Kanowit, Kanowit pun sudah 86 peratus. Ini bermakna indikator Sarawak akan mencapai herd immunity dalam hujung bulan Ogos ini,” tambahnya.

Abang Johari berkata, ia merupakan pencapaian yang amat memberangsangkan walaupun keadaan di kawasan Kapit amat mencabar dari segi bentuk muka bumi dan taburan penduduk yang berselerak.

Menurutnya, seramai 187 orang penduduk di Long Singut yang menempatkan perkampungan Kenyah telah selesai menerima suntikan vaksin dos kedua.

Abang Johari dengan diiringi oleh pegawai-pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang berkaitan telah mengadakan lawatan singkat ke PPV ini bagi meninjau program pemberian vaksin di penempatan tersebut.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion, Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Panglima Medan Timur, Leftenan Jeneral, Dato Mardzuki Muhammad. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply