Home Pertahanan dan Keselamatan 19 warga asing hampir lemas, tongkang rempuh bot APMM

19 warga asing hampir lemas, tongkang rempuh bot APMM

by Nurulhuda

PELABUHAN KLANG, 3 Ogos – Sekumpulan warga asing yang menaiki sebuah tongkang, bertindak merempuh bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika cuba menyusup keluar secara haram dari negara ini, awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, kejadian berlaku di kedudukan 2.5 batu nautika barat Sungai Serdang Besar, Kapar, kira-kira jam 1 pagi.

Beliau berkata, penahanan tersebut dibuat semasa bot Penggalang 41 APMM yang sedang melakukan rondaan bersepadu Operasi Benteng (Op Benteng) Laut dan Operasi Ehsan (Op Ehsan), mengesan sebuah tongkang kayu mencurigakan sedang bergerak tanpa sebarang lampu menuju sempadan perairan Malaysia-Indonesia.

“Sebaik dipintas untuk diperiksa, tekong tongkang tersebut telah bertindak agresif dan cuba meloloskan diri dengan merempuh bot APMM,

“Rempuhan tersebut telah menyebabkan kerosakan di bahagian sisi Penggalang 41, namun semua anggota tidak mengalami sebarang kecederaan,

“Berikutan rempuhan itu juga mengakibatkan tongkang tersebut karam di lokasi kejadian dan kesemua 19 penumpang termasuk tekong jatuh ke laut sehingga hampir lemas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Rosli berkata, kesemua mangsa diselamatkan oleh anggota Penggalang 41 dengan bantuan 2 aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebuah aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang juga turut serta dalam operasi itu.

“Pemeriksaan mendapati tongkang berkenaan membawa 19 warga asing termasuk tekong, terdiri daripada 16 lelaki dan 2 wanita warga Indonesia, serta seorang lelaki warga Pakistan dengan lingkungan umur 20 hingga 45 tahun,

“Kesemua suspek telah ditahan,12 daripadanya telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, manakala 7 lagi mempunyai passport tanpa cop keluar atau masuk secara rasmi,

“Kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu keluar Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan dan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” tambahnya.

Menurutnya, kesemua tahanan telah di bawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM bagi tindakan lanjut.

Pada masa yang sama, beliau berkata, pihaknya akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan maritim Malaysia.

Selian itu, pihaknya meminta orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut kepada pihak berkuasa agar tindakan sewajarnya dikenakan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply