Home Pertahanan dan Keselamatan 5 nelayan Vietnam lolos lokap diberkas semula

5 nelayan Vietnam lolos lokap diberkas semula

by Nurulhuda

MIRI, 25 Jul – 5 nelayan warga Vietnam yang meloloskan diri dari lokap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Miri pada 15 Julai lepas berjaya diberkas semula semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md. Fauzi Othman berkata, 5 tahanan ini telah meloloskan diri pada 15 Julai lalu melalui tingkap tandas lokap yang dirosakkan dan berjaya ditangkap semula pada jam 11.00 malam di sekitar kawasan semak berhampiran muara Sungai Miri.

Beliau berkata, 5 tahanan tersebut adalah antara 13 nelayan asing Vietnam yang ditahan pada 28 Jun lepas atas kesalahan menceroboh perairan, menangkap ikan tanpa permit serta tiada pengenalan diri yang sah.

“APMM Miri telah melancarkan operasi kejar buru melalui risikan maklumat, carian darat dan juga sekatan sungai di kawasan muara sungai Miri bagi mengesan dan memberkas serta mengelakkan tahanan melarikan diri melalui jalan laut,

“Lokasi persembunyian suspek dikesan berikutan pergerakan sebuah kenderaan mencurigakan memasuki kawasan loji kumbahan berhampiran muara Sungai Miri serta meletakkan bungkusan yang disyaki makanan dan terus keluar meninggalkan lokasi,

“Tidak lama selepas itu, muncul 5 individu dari arah pantai menyelinap masuk ke semak berhampiran pantai tersebut. Intipan mendapati bungkusan yang disyaki makanan tersebut telah hilang dan dipercayai telah diambil oleh suspek,” katanya dalam kenyataan, malam tadi

Md. Fauzi berkata, susulan itu, pihak penguat kuasa telah mengepung kawasan tersebut dan menyerbu kesemua nelayan terbabit.

“Kesemua suspek berjaya diberkas semula setelah salah seorang daripada mereka menyerah diri, dipercayai sudah keletihan dan kelaparan,

“Susulan penangkapan itu, pihak ZMM berjaya merampas satu telefon bimbit jenama Oppo daripada salah seorang suspek yang dipercayai digunakan untuk menghubungi dalang yang memberikan bantuan makanan kepada mereka,” tambahnya.

Kesemua suspek yang diberkas telah dibawa ke Balai Polis Batu Niah untuk diserahkan kepada pihak polis, dalang yang dipercayai telah bersubahat dan memberi bantuan makanan kepada suspek kini sedang diburu oleh pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

Kejayaan operasi memburu suspek tersebut turut melibatkan kerjasama dari Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri serta hasil dari maklumat komuniti setempat.

Pada masa yang sama, Md. Fauzi mengingatkan tindakan segelintir masyarakat setempat yang sanggup bersekongkol dengan suspek serta menjadi tali barut jenayah adalah sesuatu yang tidak wajar dan seolah-olah tiada jati diri.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply