Home Pertahanan dan Keselamatan PGA tahan pembekal, rampas rokok seludup bernilai RM12 ribu

PGA tahan pembekal, rampas rokok seludup bernilai RM12 ribu

by Nurulhuda

PONTIAN, 21 Jul – Pasukan Gerakan Am (PGA) telah menahan seorang lelaki yang dipercayai pembekal rokok seludup dan merampas pelbagai jenis rokok bernilai RM12,144 dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Mutiara 6, Pusat Perniagaan Benut, pada Isnin.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Simpang Renggam, Superintendan Dimin Awang berkata, serbuan itu dilakukan pada jam 10.30 malam oleh sepasukan polis dari Batalion 5 PGA.

Beliau berkata, pihaknya telah merampas 60 karton rokok seludup pelbagai jenama yang tidak mempunyai cukai kastam dalam operasi tersebut.

“Seorang lelaki warga tempatan yang berusia 32 tahun turut ditahan dan dipercayai bertanggungjawab membekalkan rokok seludup di sekitar kawasan daerah Pontian,

“Suspek juga menjadikan premis tersebut sebagai tempat penyimpanan rokok seludup sebelum diedarkan kepada peruncit di sekitar kawasan Pontian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dimin berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah lebih RM12,144 dan suspek serta barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

Dalam masa yang sama, Dimin turut meminta orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin di jalan yang tidak diwartakan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply