Home Pertahanan dan Keselamatan Pasukan CMVT ATM percepat pemberian vaksin di pendalaman Sarawak

Pasukan CMVT ATM percepat pemberian vaksin di pendalaman Sarawak

by Nurulhuda

KAPIT, 12 Jul – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus komited mengaturgerak pasukan perubatan Combat Medic Vaccination Team (CMVT) untuk membantu kerajaan dalam merealisasikan sasaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di kawasan pendalaman Sarawak.

Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen), Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa berkata, sehingga semalam, CMVT telah memberikan suntikan vaksin kepada lebih 3 ribu penerima yang melibatkan 4 kawasan pendalaman di negeri ini.

“Jumlah tersebut termasuklah 800 orang penduduk di kawasan Penempatan Semula Nanga Ngungun Kanowit,”katanya dalam hantaran di media sosial 1 Divisyen.

Beliau menjelaskan, sebelum ini pasukan yang terdiri daripada 5 orang doktor perubatan dan 15 orang paramedik telah ke beberapa lokasi lain antaranya ke Ba’kelalan, Lawas dan Bukit Mabong untuk membantu pihak kerajaan negeri bagi mencapai sasaran imuniti kelompok penerima suntikan vaksin COVID-19 bagi penduduk di kawasan pedalaman.

Menurutnya, selapas program di Nanga Ngu-Ngun selesai, pasukan ini akan memulakan program sama di kawasan Pasai Siong yang bermula minggu depan.

“Kaedah yang sama akan diguna pakai di Pasai Siong dan berharap anggota pasukan lebih berhati-hati ekoran peningkatan kes positif COVID-19 yang semakin meningkat,” tambahnya.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 5 lokasi pemberian vaksin oleh CMVT di kawasan pedalaman di Sarawak sudah dikenal pasti.

Ia meliputi Ba’kelalan di Limbang; Sang Anau, Long Busang dan Long Unai di Kapit serta Nanga Ngungun di Kanowit dengan proses penghantaran vaksin akan menggunakan laluan udara, air dan darat.

CMVT di Sarawak diselaraskan oleh Markas 1 Divisyen dengan dianggotai seramai 5 pegawai perubatan, 15 anggota paramedik termasuk 30 anggota sokongan yang bertugas di setiap kawasan terbabit.

Pasukan CMVT ke kawasan pendalaman ini telah mula beroperasi sejak 21 Jun lalu bagi membantu pihak kerajaan mempercepatkan pelaksanaan PICK di kawasan pendalaman Sarawak. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply