Home Pertahanan dan Keselamatan Koperasi Tentera beri moratorium selama 6 bulan mulai Ogos

Koperasi Tentera beri moratorium selama 6 bulan mulai Ogos

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 12 Jul – Koperasi Tentera mengeluarkan pekeliling penangguhan pembayaran balik pinjaman (moratorium) secara automatik kepada anggota untuk tempoh 6 bulan bermula Ogos 2021 sehingga Januari 2022 tanpa sebarang caj atau faedah tambahan.

Koperasi Tentera menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan, moratorium itu melibatkan Pembiayaan Peribadi Berpenjamin, Pembiayaan Peribadi Tanpa Penjamin, Ekspres, Ekspres 2, Ekspress 3, Pembiayaan Yuran Koperasi Tentera dan Pembiayaan Takaful serta Cukai Jalan.

“Selari dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun yang lalu,

“Koperasi Tentera amat prihatin dan ingin memaklumkan bahawa akan memberi penangguhan Moratorium secara automatik selama 6 bulan bermula Ogos 2021 sehingga Januari 2022,” kata hantaran itu.

Menurut Koperasi Tentera, moratorium ini hanya terpakai untuk akaun pembiayaan yang diluluskan setakat 30 Jun 2021.

Pada masa sama, kemudahan moratorium ini turut dipanjangkan kepada anggota yang telah bersara dan yang membuat bayaran melalui kaedah lain.

Jelasnya, potongan gaji bagi bayaran pembiayaan melalui majikan dan Biro Perkhidmatan Angkasa (BPA) berjalan seperti biasa.

“Wang ini akan dikembalikan ke dalam akaun simpanan anggota,

“Anggota digalakkan untuk mendaftar Perkhidmatan aplikasi KTOnline dan membuat pengeluaran simpanan secara atas talian. Hubungi Pusat Khidmat Pelanggan KT di talian 1-300-8000-58 untuk pendaftaran,” ujarnya.

Namun, sekiranya anggota memilih untuk tidak menerima moratorium ini, sila kunjungi cawangan Koperasi Tentera berhampiran, hubungi Pusat Khidmat Pelanggan Koperasi Tentera di talian 1-300-8000-58 atau email ke [email protected].

“Anggota perlu membuat permohonan pada atau sebelum 23 Julai 2021,” katanya lagi.

Selain itu, Koperasi Tentera menyatakan kriteria permohonan yang tidak layak menerima moratorium ini adalah pembiayaan bermasalah tertunggak lebih daripada 88 hari atau MIA 3 bulan ke atas pada 1 Ogos 2021.

“Terlibat dengan akaun terbengkalai (NPF) semasa permohonan,” jelasnya.

Galeri gambar:

 

Related Articles

Leave a Reply