Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan kapal tangki berlabuh secara haram di perairan negara

APMM tahan kapal tangki berlabuh secara haram di perairan negara

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 2 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor menerusi Operasi Jangkar Haram telah menahan sebuah kapal tunda kerana disyaki berlabuh secara haram di perairan Johor Timur, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tunda sepanjang 74 meter yang berdaftar dari Panama itu telah ditahan di kedudukan 8.3 batu nautika timur Tanjung Balau, Johor.

Beliau berkata, penahanan dilakukan oleh anggota bot ronda APMM dalam satu rondaan operasi sekitar jam 1.30 petang.

“Hasil pemeriksaan terhadap kapal tunda terbabit yang dikendalikan oleh 16 orang kru warga India mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan berusia antara 26 tahun hingga 50 tahun,

“Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan kapal berserta kru telah ditahan serta disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,”katanya dalam hantaran di laman sosial APMM, hari ini.

Pada masa yang sama, Nurul Hizam berkata, sebanyak 50 buah kapal telah ditahan di atas kesalahan bersauh tanpa kebenaran sejak Operasi Jangkar Haram dilancarkan pada 24 Mac lalu.

Nurul Hizam turut mengingatkan pihak pemilik kapal dan nakhoda kapal supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang sekiranya ingin bersauh di perairan Malaysia. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply