Home Pertahanan dan Keselamatan APMM gagalkan cubaan seludup 300kg daun ketum ke Thailand

APMM gagalkan cubaan seludup 300kg daun ketum ke Thailand

by Air Times News Network

KUALA PERLIS, 1 Jul – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar daun ketum ke negara jiran seberat 300 kilogram (kg) di persisiran pantai muara Sungai Baru, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, rampasan itu dibuat pada jam lebih kurang 4.30 pagi, namun suspek berjaya melarikan diri.

“Sebaik menyedari diekori oleh bot penguat kuasa, suspek yang menaiki bot fiber memecut laju dengan berpatah balik menghala ke daratan dan meninggalkan bot dalam kawasan berlumpur,

“Hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan dua suspek, terdapat enam bungkusan besar plastik hitam di bahagian belakang dan sejumlah bungkusan-bungkusan kecil ditemui di bahagian hadapan bot yang diubah suai itu,

“Pemeriksaan lanjut mendapati kandungan bungkusan terbabit disyaki daun ketum dengan anggaran seberat 300 kilogram dan dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Shafie berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk daun ketum, bot fiber berserta enjin sangkut bergalah dianggarkan sekitar RM69 ribu.

“Semua hasil rampasan dan bot tersebut dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut,

“Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut,

“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih 4 tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.

Menurutnya, jarak yang dekat di antara Perlis dan Thailand merancakkan lagi aktiviti penyeludupan daun ketum ke negara tersebut.

Tegasnya, Zon Maritim Kuala Perlis akan terus meningkatkan rondaan dan pemantauan di sempadan perairan Perlis dari semasa ke semasa bagi mencegah aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan Perlis. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply