Home Pertahanan dan Keselamatan Hospital Medan: ATM terima 377 permohonan petugas kesihatan

Hospital Medan: ATM terima 377 permohonan petugas kesihatan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima sebanyak 377 permohonan untuk mengisi pelbagai kategori petugas kesihatan bagi membantu pengoperasian Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Hospital Medan yang dibina ATM.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, permohonan tersebut adalah bagi mengisi jawatan 30 Pegawai Perubatan dan 100 orang petugas kesihatan yang ditawarkan secara kontrak sejak 21 Jun lalu.

Beliau berkata, Hospital Medan dan Unit Rawatan Rapi (ICU) Medan dibina bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangani situasi COVID-19 yang semakin meningkat di negara ini dan ia memerlukan ATM penambahan sumber manusia daripada kalangan profesional kesihatan.

“Permohonan yang diterima adalah 24 doktor atau pegawai perubatan berbanding keperluan 30 orang, seorang penolong pegawai perubatan gred U41/44/48 (keperluan 3) dan 59 penolong pegawai perubatan gred U29 (keperluan 30),

“Selain itu, ATM seramai 48 jururawat terlatih gred U29 (keperluan 30), 14 pegawai farmasi gred UF41/44/48 (keperluan 2), 120 penolong pegawai farmasi (keperluan 5), 41 penolong pegawai kesihatan persekitaran gred U29 (keperluan 10) dan 71 paramedik gred U29 (keperluan 20) turut diterima,

“Mereka akan dilantik secara kontrak selama setahun dengan kelayakan menerima manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Saringan calon-calon pelantikan secara kontrak petugas kesihatan Kementerian Pertahanan (Kumpulan 1), di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, hari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri ketika sidang media Program Saringan calon-calon pelantikan secara kontrak petugas kesihatan Kementerian Pertahanan (Kumpulan 1), di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, hari ini. Foto: AirTimes/Azuwan

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh.

Ismail Sabri menjelaskan pegawai dan kakitangan perubatan itu dilantik secara kontrak bagi meningkatkan kesiagaan perkhidmatan kesihatan ATM dalam membendung wabak COVID-19.

“Sebahagian besar mereka yang dipilih ini adalah bekas pegawai perubatan dan paramedik yang bertugas di bahagian kesihatan ATM,

“Jadi kita (ATM) panggil semula mereka bekas doktor, bekas jururawat dan melantik mereka secara kontrak,” tambahnya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut menjelaskan, ATM akan membina 4 lagi Hospital Medan ATM bagi menampung keperluan kesihatan di hospital yang memerlukan.

“Buat masa ini, ATM sudah menubuhkan 5 Hospital Medan iaitu di Tawau, Kapit, Kepala Batas, Hospital Sultanah Aminah Johor Bharu dan Dewan Perbadanan Wilayah Persekutuan Labuan,

“Kita akan menunggu cadangan lokasi daripada KKM untuk membina 4 lagi Hospital Medan,

“KKM akan memaklumkan keperluan termasuk jumlah katil yang diperlukan dan sekiranya diperlukan, kami bersedia,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply