Home Pertahanan dan Keselamatan Taktik sembunyi dalam kotak ikan gagal, 72 warga asing ditahan di Pasar Borong Selangor

Taktik sembunyi dalam kotak ikan gagal, 72 warga asing ditahan di Pasar Borong Selangor

by Nurulhuda

SELANGOR, 26 Jun – Tindakan sekumpulan warga asing yang bersembunyi di dalam kotak ikan dan longkang gagal, apabila mereka dicekup oleh anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi yang dilakukan di Pasar Borong Selangor, awal pagi tadi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, seramai 72 warga asing ditahan melibatkan 39 pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Bangladesh (19), Myanmar (9), Indonesia (3) dan masing-masing seorang warga India serta Nepal berjaya ditahan dalam serbuan yang bermula pada jam 1 pagi itu.

Beliau berkata, kesemua warga asing tersebut berumur dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun itu ditahan kerana disyaki tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Tambahnya, pemeriksaan awal mendapati, ada antara warga asing yang ditahan itu merupakan pemegang kad UNHCR, namun kad yang dikemukakan meragukan.

“Sehubungan itu, siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti kesahihan kad tersebut serta pemeriksaan sama ada mereka ini mempunyai dokumen serta permit kerja berdasarkan sektor mengikut permohonan mereka,

”Kesemua mereka akan dibawa ke Jabatan Imigresen Selangor untuk tindakan selanjutnya,” katanya seperti dilaporkan Bernama selepas meninjau operasi tersebut, awal pagi Sabtu.

Menurutnya, Op Patuh yang berkuat kuasa hari ini akan diteruskan bagi membanteras ketidakpatuhan prosedur operasi standart (SOP) secara bersepadu dengan menumpukan aspek penyalahgunaan surat kelulusan yang dikeluarkan oleh kementerian, jabatan atau agensi yang diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita juga akan periksa jika tahanan itu bekerja dalam sektor mengikut permit kerja, sebab ada kes di mana permit untuk kerja pembinaan, tetapi mereka kerja di pasar borong,

“Itu dikira menyalahgunakan permit kerja, malah majikan yang didapati menggajikan pekerja asing tidak mengikut permit dikeluarkan boleh diambil tindakas,” tegasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply