Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan bot nelayan tempatan gajikan kru warga Myanmar

APMM tahan bot nelayan tempatan gajikan kru warga Myanmar

by Nurulhuda

GEORGETOWN, 26 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan disyaki menggaji kru warga asing tanpa kebenaran di kedudukan 4.0 batu nautika barat Kuala Muda, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, penahanan tersebut dibuat selepas anggota bot ronda APMM yang melaksanakan Operasi Benteng (Op Benteng) dan Operasi Pertiwi (Op Pertiwi) telah mengesan bot terbabit dalam keadaan mencurigakan dan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan pada jam 11.45 pagi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot mendapati, bot dikendalikan oleh tekong bersama 3 kru warga tempatan sementara 2 lagi kru merupakan warga Myanmar pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan kesemua mereka berumur sekitar 21 hingga 32 tahun.

“Bot terbabit kemudian ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu menggajikan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan,

“Bot dan kesemua kru termasuk tekong ditahan serta dibawa masuk ke Jeti APPM Batu Uban bagi diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Abd Razak turut menyeru orang ramai untuk terus memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut ke pihak berkuasa demi menjaga kedaulatan serta keselamatan negara. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply