Home Pertahanan dan Keselamatan COVID-19: Hospital Medan ATM HSA rawat 36 pesakit sejak 21 Jun lalu

COVID-19: Hospital Medan ATM HSA rawat 36 pesakit sejak 21 Jun lalu

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 26 Jun – Seramai 36 orang pesakit COVID-19 dalam kategori 3 dan 4 telah mendapat rawatan di Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sejak ia mula beroperasi pada 21 Jun lalu.

Komandernya, Mejar Rahimi berkata, hospital medan itu yang mula didirikan pada 8 Jun lalu melalui kolaboratif dari pelbagai agensi ini hanya mengambil masa 2 minggu untuk tempoh persiapan sebelum beroperasi dengan sepenuhnya.

“Kita mula beroperasi sepenuhnya pada 21 Jun dan menempatkan pesakit-pesakit COVID-19 secara berperingkat. Buat masa ini, terdapat 70 orang petugas ATM dan 50 orang petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),

“Hospital medan ini menempatkan sebanyak 60 katil untuk pesakit COVID-19 kategori 3 dan 4 dan kami juga menyediakan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di medan untuk merawat pesakit yang kritikal,

“Pengoperasian hospital ini diharap akan dapat membantu meningkatkan kapasiti katil wad COVID-19 dan ICU di HSA bagi merawat pesakit COVID-19 di Johor,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Sebelum ini, ATM telah membantu pihak KKM dalam menyediakan fasiliti kesihatan dalam membantu kerajaan memutuskan rantaian wabak COVID-19 di dalam negara.

Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di Serdang telah dibina oleh ATM bersama agensi-agensi yang terlibat pada awal Disember tahun lalu.

Selain itu, ATM juga telah mengaturgerakan anggota dan aset bagi membina Hospital Medan ATM di Hospital Tawau, Sabah; Hospital Daerah Kapit, Sarawak dan Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang serta yang terbaharu di Labuan bagi membantu petugas KKM. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply