Home Pertahanan dan Keselamatan Total lockdown: ATM kerah aset dan anggota di seluruh negara

Total lockdown: ATM kerah aset dan anggota di seluruh negara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus komited dan mempertingkatkan kesiagaannya bagi membantu negara dalam melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ fasa pertama di seluruh negara bermula hari ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jenaral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, peningkatan kesiagaan ini meliputi aspek aturgerak anggota dan aset melalui pelaksanaan Operasi Penawar (Op Penawar), Operasi Benteng (Op Benteng) serta bantuan perkhidmatan kesihatan dalam menangani penularan pandemik COVID-19 yang menunjukkan trend peningkatan jangkitan wabak berkenaan di seluruh negara.

Op Penawar

Menurut Affendi, ketika ini pelaksanaan Op Penawar yang dikoordinasi oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) melibat seramai 3,300 anggota dari ketiga-tiga perkhidmatan iaitu TDM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kesemua anggota telah diaturgerak bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam penugasan Sekatan Jalan Raya (SJR), Pos Statik dan Rondaan Mobile Patrol Vehicle (MPV) di seluruh negara.

“Aturgerak dan kesiagaan ini turut meliputi aspek kawalan dan rondaan keselamatan di kawasan berisiko tinggi yang telah diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), lokasi-lokasi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan pelaksanaan Task Force Operasi Pematuhan bagi memantau serta menguatkuasakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,

“Seramai 1,164 anggota juga sebagai kumpulan sokongan bagi aspek lain-lain penugasan yang menyokong kepada pengurusan dan pelaksanaan OP PENAWAR ini, turut diaturgerakkan bagi menjayakan Fasa Pertama ‘total lockdown’ berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Op Benteng

ATM sebagai agensi peneraju di dalam National Task Force (NTF) bersama PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain akan terus bekerjasama dalam memperkasakan kawalan persempadanan negara dalam mengekang sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan terutama melibatkan pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Beliau berkata, secara keseluruhan, seramai 12,285 anggota telah diaturgerak bagi mengekang kemasukan PATI daripada membolosi sempadan negara terutama melalui lorong tikus  di seluruh negara.

“Kerjasama bersepadu di antara 19 agensi yang dikordinasikan di bawah NTF ini telah berjaya memperketatkan kawalan sempadan darat, laut dan udara negara di samping memudahkan proses kerja setiap agensi dalam mencapai misi operasi.

Menurutnya, secara kumulatif sejak 6 Mei 2020 sehingga 31 Mei 2021, seramai 14,040 orang PATI, 1,055 orang tekong dan 664 orang penyeludup telah ditahan dalam operasi tersebut.

“Manakala sebanyak 8,617 pelaporan melibatkan 5,221 kes tangkapan, 379 kes pengusiran, 1,421 kes penglihatan dan 1,593 kes barang rampasan yang melibatkan nilai rampasan berjumlah RM 528.6 juta telah direkodkan,” ujarnya.

Tambahnya, dalam tempoh dua minggu fasa pertama total lockdown, dijangka akan menyaksikan peningkatan pergerakan keluar dan masuk PATI secara berterusan melalui lorong-lorong tikus khususnya di kawasan hotspot di bahagian Pantai Barat, Selatan dan Utara Semenanjung serta sempadan Sabah dan Sarawak.

Selain itu, aktiviti jenayah rentas sempadan dipercayai akan terus berlaku di Utara Semenanjung dan sempadan Sarawak Kalimantan.

“Oleh itu, NTF akan memastikan semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan yang terlibat bersiap sedia dalam segala aspek bagi menjaga sempadan negara pada sebilang masa dalam memastikan tiada PATI dan aktiviti jenayah rentas sempadan berlaku,” jelasnya.

Bantuan Perkhidmatan Kesihatan ATM

Affendi turut menjelaskan, ATM melalui Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT) terus komited bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memberi tumpuan kepada bantuan pengoperasian Hospital dan Unit Rawatan Rapi Medan (ICU) ATM.

“Sehingga kini juga, ATM telah menempatkan 6 pegawai serta 53 anggota serta turut dibantu 10 jururawat dan 6 anggota perkhidmatan sokongan dari KKM di Hospital Medan Kapit di Sarawak yang telah diaturgerakkan pada 6 Mei 21 lalu,

“Bagi ICU Medan di Hospital Kepala Batas pula, seramai 3 pegawai dan 30 anggota daripada 2 Batalion Perubatan (2 Bn Ubat) serta 2 pakar bius daripada Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HAT Mizan) telah diaturgerakkan,” jelasnya.

Selain itu, Affendi turut berkata, sehingga kini ATM telah menempatkan seramai 21 petugas perubatan, 130 petugas keselamatan dan 15 petugas khas di PKRC, MAEPS, Serdang bagi membantu KKM menguruskan pusat kuarantin berkenaan.

Bantuan Logistik Udara

Pada masa sama, TUDM juga melaksanakan penerbangan “logistic communication” membawa peralatan dan barangan perubatan menggunakan pesawat TUDM dari Pangkalan Udara Subang terutama ke Sarawak dan Sabah berdasarkan keperluan semasa.

“Ini juga merupakan kerjasama ATM dan KKM untuk memastikan keperluan terutamanya aspek logistik perubatan di kedua-dua wilayah berkenaan tidak terputus,” jelasnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply