Home Pertahanan dan Keselamatan Penerbangan pesawat Israel: Jangan timbulkan keresahan, tiada yang terlepas pandang

Penerbangan pesawat Israel: Jangan timbulkan keresahan, tiada yang terlepas pandang

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 26 Mei – ‘Jangan timbulkan keresahan, insyallah (tentera) tiada yang terlepas pandang’ – itu adalah perkara ditegaskan oleh sumber yang sebelum ini bertugas di Cawang Pengurusan Ruang Udara TUDM ketika dihubungi oleh Air Times.

Beliau mengulas isu penerbangan pesawat 4X-AOO milik syarikat IAI-Elta yang dikatakan merentasi ruang udara Malaysia pada pagi 20 Mei lalu.

“Saya tidak boleh komen adakah benar pesawat tersebut melalui ruang udara Malaysia ataupun sama ada ianya diluluskan ataupun tidak,

“Saya ingin menumpukan kepada pemahaman dan keyakinan rakyat terhadap sistem pertahanan kita,

“Tidak timbul isu laluan mana yang digunakan, tidak timbul isu ancaman mana-mana pesawat yang mungkin melalui ruang udara kita, prosedur dan proses tetap sama,

“Semua kementerian yang terlibat mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang telah diperakukan selama ini,

“Pesawat awam berdaftar milik negara asing tanpa mengira dari negara mana sekalipun, perlu dan pastinya akan mematuhi prosedur bagi setiap operasi penerbangan, satu dunia, semua negara, semua sama,

“Oleh itu, pengendali pesawat tersebut perlu melaksanakan permohonan kepada pihak berkaitan,” jelasnya.

Beliau menambah, perkara ini perlu difahami secara jelas oleh rakyat Malaysia. Menurutnya, prosedur tersebut adalah perkara penting dan wajib dipenuhi oleh mana-mana pesawat berdaftar sekiranya melakukan penerbangan di ruang udara Malaysia.

“Sekiranya perkara tersebut tidak dipenuhi, sudah tentu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutamanya Tentera Udara Malaysia (TUDM) akan menguatkuasakan undang-undang mengikut prosedur sedia ada,

“Sebelum ini pun, TUDM telah banyak melakukan pemintasan dan menghalau pesawat-pesawat yang memasuki ruang udara Malaysia tanpa kebenaran,” ujarnya.

Beliau sekali lagi menegaskan mana-mana pesawat awam memasuki ruang udara Malaysia perlu mematuhi prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa penerbangan.

Pada masa yang sama, sumber enggan mengulas sama ada kebenaran telah diberikan kepada pesawat tersebut.

“Beliau berharap rakyat Malaysia terutamanya netizen memberikan kepercayaan penuh kepada ATM dalam menjaga kedaulatan negara.

‘Pesawat sentiasa dipantau’

Operasi penerbangan pesawat 4X-AOO merentasi ruang udara Malaysia pada 20 Mei lalu menjadi perhatian di kalangan rakyat Malaysia. Ini berikutan maklumat yang disebarkan menyatakan pesawat tersebut mempunyai kemampuan untuk melaksanakan operasi perisikan elektronik (ELINT).

“Pesawat yang dilaporkan adalah berdaftar sebagai pesawat awam yang dikendalikan oleh syarikat persendirian,

“Maka, pesawat tersebut adalah tertakluk kepada undang-undang antarabangsa (ICAO),” katanya kepada Air Times.

Sumber menjelaskan, semua  operasi penerbangan pesawat di ruang udara Malaysia adalah mengikut prosedur yang sama untuk  penerbangan awam yang lain. Tiada pengecualian.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan pemantauan terhadap semua penerbangan, terutama jika dijangkakan kemungkinan wujudnya ancaman, telah dilakukan oleh ATM secara rapat dan dekat.

“Pemantauan merangkumi kelajuan, ketinggian penerbangan, frekuensi peralatan dan elemen-elemen lain yang mungkin mencemari kedaulatan negara,” katanya.

‘Malaysia dan konvensyen penerbangan antarabangsa’

Malaysia merupakan antara negara yang menandatangani konvensyen dan protokol antarabangsa yang menggariskan peraturan penerbangan di seluruh dunia.

Antara konvensyen yang diiktiraf oleh Malaysia adalah Convention on International Civil Aviation 1944 (ICAO) dan Montreal Convention for the Suppression of Unlawful Acts Against the Safety of Civil Aviation 1971 (Montreal Convention).

ICAO telah mengariskan 9 hak penerbangan antarabangsa melalui Manual Kawalan Pengangkutan Udara Antarabangsa.

Antara hak yang digariskan adalah melalukan penerbangan rentas sesebuah negara tanpa sebarang gangguan.

Selain daripada itu, Artikel 12 yang dikeluarkan oleh ICAO telah menggariskan mana-mana operasi penerbangan yang melalui sesebuah negara perlu mengikuti peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa penerbangan setempat.

Selain daripada itu, ICAO turut menggariskan kriteria yang perlu dipenuhi oleh sesebuah pesawat untuk melakukan penerbangan antarabangsa.

Antara kriteria yang digariskan oleh Artikel 29 ialah pendaftaran, airworthiness dan log perjalanan.

Untuk rekod, ICAO atau lebih dikenali Konvensyen Chicago (Chicago Convention) telah diterima oleh Malaysia semenjak 31 Mei 1945.

Konvensyen Montreal pula diktiraf oleh negara pada 4 Mei 1985.

Semalam, Air Times melaporkan operasi penerbangan latihan oleh pesawat ujian pengintip yang dikendalikan oleh syarikat awam Israel, IAI-Elta.

Pesawat tersebut kini berada di Singapura dan dilaporkan sedang melaksanakan ujian penerbangan semenjak 24 Mei lalu selepas tiba 4 hari sebelumnya.

Selain daripada itu, aplikasi FlightRadar24 menunjukkan pesawat terbabit telah berlepas dari Israel pada 18 Mei lalu, mengikut waktu antarabangsa (Greenwich Mean Time). – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply