Home Pertahanan dan Keselamatan Polis Johor lupus mercun bernilai RM2.02 juta

Polis Johor lupus mercun bernilai RM2.02 juta

by Air Times News Network

JOHOR BAHRU, 25 Mei – Polis Johor telah melaksanakan pelupusan ke atas mercun serta bunga api yang dirampas sepanjang tahun 2020 hingga bulan Februari 2021.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebanyak 8 kes rampasan mercun dan bunga api tanpa kebenaran penyimpanan serta jualan telah selesai dari sudut siasatan.

Ia juga telah mendapat perintah mahkamah untuk pelupusan.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM2,024,800.00.

“Johor Bahru Utara melibatkan 5 kes dengan nilai rampasan RM1.6 juta,

“Iskandar Puteri melibatkan 1 kes dengan nilai rampasan RM394,800.00,

“Manakala, Kluang melibatkan 2 kes dengan nilai rampasan RM30,000.00,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes telah disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 74 Peraturan-peraturan Bahan Letupan 1957.

“Jumlah tangkapan keseluruhan adalah seramai 10 orang melibatkan 9 lelaki Cina dan seorang lelaki Melayu,

“Seramai 5 orang di Johor Bahru, 4 di Kluang dan seorang di Iskandar Puteri yang berumur dalam lingkungan 27 hingga 50 tahun,” ujarnya.

Tambahnya, pada dasarnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membenarkan penjualan 36 daripada 44 jenis bunga api happy boom dan pop-pop yang telah diluluskan Kementerian Dalam Negeri untuk jualan sempena musim perayaan.

“Namun terdapat 3 larangan yang telah ditetapkan iaitu menjual kepada pembeli di bawah umur 18 tahun, urus niaga melalui dalam talian (online) dan penjualan oleh pengusaha restoran atau kedai makan,

“Semua peniaga dikehendaki mematuhi peraturan yang telah ditetapkan PDRM iaitu mendapatkan permit atau surat rasmi berniaga dari pihak berkuasa tempatan (PBT) serta tempat penyimpanan yang diperakui selamat oleh Bahagian Persenjataan PDRM,

“Sebarang perlanggaran syarat akan diambil tindakan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang boleh dihukum penjara 7 tahun atau denda RM10,000,” tambahnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply