Home Pertahanan dan Keselamatan Operasi ICU Medan Hospital Kepala Batas ditunda

Operasi ICU Medan Hospital Kepala Batas ditunda

by Bernama

Kepala Batas, 25 Mei – Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Medan di Hospital Kepala Batas (HKB) yang dijadualkan beroperasi hari ini, ditundakan ke Khamis atau Jumaat ini untuk kerja-kerja penambahbaikan dari segi keselamatan ketika kebakaran.

Komander ICU Hospital Medan HKB Leftenan Kolonel Dr Mohd Zamri Derahman berkata, selepas pemeriksaan pihak bomba menerusi raptai dan latihan kebakaran penuh hari ini, tarikh operasi hospital medan yang dibina oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa ditunda.

“Kami telah jalankan raptai dan latihan kebakaran semalam, namun pihak bomba mahu SOP keselamatan yang sangat tinggi serta ketat dijalankan terlebih dahulu sebelum ICU Hospital Medan beroperasi sepenuhnya kerana perlu memastikan semuanya dalam keadaan baik dan selamat.

“Jadi hari ini, kami menjalankan raptai dan latihan kebakaran penuh iaitu menggunakan semua petugas yang sepatutnya dengan berpakaian lengkap alat perlindungan peribadi (PPE) supaya pihak bomba dapat membuat penilaian sama ada ia memenuhi SOP yang ditetapkan mereka (bomba),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di ICU Hospital Medan HKB, di sini, hari ini.

Mohd Zamri berkata, pihaknya berharap ICU Hospital Medan HKB dapat beroperasi mengikut SOP keselamatan yang ketat seperti ditetapkan pihak bomba supaya ia selamat untuk semua terutama pesakit dan petugas yang berada di kawasan berkenaan.

Menurutnya, keperluan ICU Hospital Medan itu sangat penting ketika ini kerana ICU di HKB sudah penuh dan memerlukan keperluan ICU untuk menempatkan pesakit Covid-19 yang kritikal.

“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) maklum mengenai pengoperasian ICU Hospital Medan ini yang mampu menempatkan 27 katil ICU terpaksa ditangguh hari ini, dan mereka juga berharap ia dapat beroperasi cepat dengan SOP keselamatan yang ketat,” katanya.

Katanya, pengoperasian ICU Hospital Medan HKB itu dibuat di kawasan tempat letak kereta di hospital terbabit dengan 14 khemah dan empat modul kontena.

Kerja-kerja pemasangan hospital medan itu bermula pada 18 Mei lalu dengan bantuan khidmat nasihat teknikal daripada Cawangan Kesihatan Markas Divisyen Kedua Infantri.

Atur gerak Hospital Medan itu membabitkan tiga pegawai dan 30 anggota lain-lain pangkat dari dua Batalion Perubatan, dua pakar bius dari Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan dan dua Pakar Teknikal Operasi Hospital Medan.

Peralatan dan kelengkapan pula membabitkan tiga modul ICU, satu modul X-Ray, tiga khemah Utilis TM 54, tujuh khemah Utilis TM 26, aset-aset perubatan dan logistik am. -Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply