Home Semasa 6 termasuk 3 warga Bangladesh diberkas jahit, jual seragam polis tanpa kebenaran

6 termasuk 3 warga Bangladesh diberkas jahit, jual seragam polis tanpa kebenaran

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 6 individu disyaki terbabit kegiatan menjahit dan menjual pakaian seragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa kebenaran di 3 premis di kawasan Pekan Sungai Besi.

Ketua Jabatan Pengurusan Polis Kuala Lumpur, Datuk Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, serbuan tersebut dilakukan sepasukan polis dari Cawangan Perlesenan Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur jam 3 petang pada 19 Mei lepas.

“Dalam serbuan ini, pihak polis telah menangkap 6 orang terdiri daripada 3 lelaki warga Bangladesh dan 3 wanita tempatan berusia antara 30 hingga 52 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu,

“3 orang wanita tempatan tersebut merupakan pemilik perniagaan dan 3 lelaki warganegara asing tersebut pula adalah pekerja di premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shaharon Anuar berkata, kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk siasatan lanjut.

“3 wanita tempatan berkenaan telah diberikan jamin polis pada hari sama, manakala 3 lelaki warga asing berkenaan direman sehingga 7 Jun ini untuk tindakan lanjut,

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967 atas kesalahan tiada kebenaran menjual pakaian dan peralatan PDRM, Seksyen 55 (B) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” ujarnya.

Tambahnya, kegiatan menjahit, menjual pakaian dan peralatan PDRM tanpa kebenaran perlu dibanteras kerana dikhuatiri disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menyamar sebagai pegawai mahupun anggota polis.

“Kami mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan itu menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply