Home Pertahanan dan Keselamatan COVID-19: 9,629 anggota keselamatan diaturgerak perketat kawalan sempadan negara

COVID-19: 9,629 anggota keselamatan diaturgerak perketat kawalan sempadan negara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Semua pasukan keselamatan akan terus memperkemas operasi bersepadu bagi memperketat kawalan sempadan negara daripada dicerobohi oleh anasir-anasir asing.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata, kerajaan terus memberi tumpuan ke arah meningkatkan kawalan keselamatan melibatkan semua aspek dalam usaha menghadapi penularan pandemik COVID-19 yang kian membimbangkan.

Beliau berkata, peningkatan kawalan keselamatan ini termasuklah penguatkuasaan di sempadan negara bagi mengelakkan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara ini.

“Sememangnya kawalan sempadan akan menjadi antara fokus kerajaan melalui transformasi pengurusan dan tadbir urus termasuk menggunakan peralatan yang berteknologi tinggi dan berbeza mengikut kesesuaian bentuk muka bumi di sempadan,

“Ini termasuklah penambahan pos-pos kawalan, pagar sempadan, CCTV, radar dan dron yang berkapasiti tinggi,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Tegasnya, ketika ini, semua pasukan keselamatan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) giat melakukan rondaan dan kawalan di seluruh negara bagi menjamin keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Seramai 9,629 anggota keselamatan telah ditugaskan untuk melakukan rondaan, penguatkuasaan dan sekatan jalan raya di seluruh negara sejak 18 Mei lalu,

“Daripada jumlah itu, 5,460 adalah anggota PDRM, manakala selebihnya, 4,169 pula melibatkan ATM, RELA, APM dan lain-lain agensi,

“Tindakan keselamatan dan kawalan dilakukan menerusi Sekatan Jalan Raya (SJR), Operasi Benteng (Op Benteng) dan SJR bagi kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Ismail Sabri menjelaskan kerajaan juga telah membuat keputusan menyekat kemasukan sementara pengembara dari India, Sri Lanka, Nepal, Bangladesh dan Pakistan kerana bimbang jangkitan varian baharu dari negara itu akan menular ke negara ini serta tindakan ini dibuat dengan tegas melibatkan semua pihak.

“Kerajaan juga telah memperketatkan kemasukan rakyat Malaysia daripada negara-negara tersebut di pintu antarabangsa dengan menambah jumlah kuarantin daripada 14 hari kepada 21 hari,

“Kesimpulannya semua frontliners termasuklah para petugas keselamatan telah mengorbankan masa mereka sepenuh masa demi menjaga kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya.

Sehingga hari ini, sebanyak 6,509 kes harian baharu COVID-19 direkodkan dan sekaligus menjadikan kes kumulatif keseluruhan pesakit akibat wabak berkenaan mencecah 518,600 kes.

Selain itu, Malaysia turut merekodkan 61 kes kematian dan 20 kluster baharu dikenal pasti pada hari ini. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply