Home Pertahanan dan Keselamatan Kamus Melayu-Inggeris antara peninggalan tawanan perang Penjara Changi

Kamus Melayu-Inggeris antara peninggalan tawanan perang Penjara Changi

by Air Times News Network

SINGAPURA, 20 Mei – Sebuah kamus Bahasa Melayu-Bahasa Inggeris dipercayai milik tawanan perang sewaktu pendudukan Jepun telah dipamerkan di Muzium dan Gereja Changi (CCM), semalam.

Portal berita tempatan Singapura melaporkan, penemuan kamus tersebut membuktikan bahawa beberapa orang di kalangan lebih 50 ribu tawanan perang di Kem Penjara Changi berminat untuk belajar Bahasa Melayu.

Kamus tersebut turut dilengkapi fonetik bagi mengajar cara bagaimana untuk menyebut perkataan dalam Bahasa Melayu yang tercatatnya nota-nota menandakan mungkin sebuah kelas bahasa yang sistematik dilaksanakan.

Ianya juga merupakan satu-satunya artifak yang mempunyai elemen Melayu daripada 114 artifak yang dipamerkan.

Kurator Muzium Negara Singapura, Iskander Mydin berkata, kamus tersebut telah diperolehi dari seseorang di Britain turut membuktikan bahawa Bahasa Melayu dianggap cukup penting pada waktu itu hingga ianya perlu diajar kepada tawanan perang.

“Saya percaya bukan hanya individu tersebut yang belajar Bahasa Melayu,

“Mungkin terdapat sebuah kelas, namun kami tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai siapa lagi tawanan yang menyertai kelas itu,” katanya dalam satu kenyataan yang dilaporkan Berita Harian Singapura.

CCM sebelum ini ditutup sejak 2018 telah diberi nafas baru dan dibuka semula untuk lawatan umum bermula semalam.

Ianya mempunyai 8 galeri yang mempamerkan kehidupan seharian para tawanan yang ditahan di Kem Penjara Changi selepas Singapura ditakluki Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua.

Artifak menarik lain turut dipamerkan seperti kamera Kodak Baby Brownie yang berjaya disembunyikan Sarjan John Ritchie Johnston sepanjang tahanan. Ianya telah disumbangkan oleh isterinya.

Kamera Kodak Baby Brownie milik Sarjan John Ritchie Johnston yang diberikan oleh isterinya. Foto: Berita Harian SG

Selain itu, sebuah alat menghantar mesej menggunakan kod morse yang berjaya disembunyikan dalam kotak mancis serta peta Semenanjung Melayu, Angkatan Tentera Udara Diraja (RAF) milik juruterbang George Dudley Binsted juga dipamerkan.

Pengarah Muzium Negara Singapura, Chung May Khuen berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada muzium-muzium luar negara dan ahli keluarga tawanan perang yang menyumbang artifak-artifak itu kepada CCM.

“Banyak artifak peribadi yang disumbang oleh ahli keluarga tawanan kini adalah sebahagian daripada Koleksi Nasional Singapura,

“Ianya membolehkan kita untuk terus berkongsi kisah mereka bersama generasi akan datang,” ujarnya dalam satu kenyataan CCM,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply