Home Pertahanan dan Keselamatan ATM, KKM pertingkat kerjasama demi kesihatan rakyat

ATM, KKM pertingkat kerjasama demi kesihatan rakyat

by Nurulhuda

KAPIT, 16 Mei – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus komited mempertingkatkan usaha dalam menghadapi penularan pandemik COVID-19 di dalam negara.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dalam kenyataan berkata, kerjasama ini merupakan komitmen ATM dalam melaksanakan tugas sekunder bagi memastikan kesejahteraan dan kesihatan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Hospital Medan ATM Kapit yang telah beroperasi sejak 10 Mei lalu di Dewan Masyarakat Melayu Kapit.

Menurutnya, kemudahan logistik semasa dalam membawa bantuan perubatan dan peralatan kesihatan juga akan diteruskan dengan menggunakan aset ATM mengikut keperluan yang melibatkan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Penubuhan hospital medan di lain-lain lokasi juga adalah tertakluk kepada keperluan semasa dan kemampuan sedia ada yang dapat disediakan oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam masa yang sama, Affendi turut mengharapkan agar setiap lapisan masyarakat memberi kerjasama dan mematuhi arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi memastikan rantaian pandemik COVID-19 ini dapat diputuskan demi kesejahteraan semua.

Perkhidmatan Kesihatan ATM melalui Kor Kesihatan Diraja (KKD) telah mengatur gerak petugas dan kelengkapan Hospital Medan ATM ke Kapit pada 06 Mei 21 lalu.

Hospital ini adalah hospital kedua seumpamanya didirikan selepas kejayaan mengoperasikan konsep hospital yang sama di Tawau, Sabah.

Batalion Pertama Perubatan (Bn 1 KKD) yang berpangkalan di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan telah diatur gerakan untuk memberi kerjasama kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Hospital Kapit untuk mengendalikan hospital medan ini.

Hospital medan yang berkapasiti 40 buah katil ini yang dilengkapi dengan kemudahan wad, farmasi, x-ray serta bilik rawatan kecemasan adalah bagi memberi rawatan kepada pesakit selain kes COVID-19 di kawasan berkenaan.

Melalui kemudahan yang disediakan ini, ia akan membolehkan Hospital Kapit memberi tumpuan kepada perkhidmatan rawatan kes COVID-19 di samping mempunyai kapasiti katil yang mencukupi bagi pesakit wabak berkenaan dan kes yang lebih serius.

Sejak hari pertama menerima pesakit pada 10 Mei 21 sehingga 14 Mei 21, seramai 7 pesakit telah ditempatkan di hospital ini dan seorang daripada mereka telah dibenarkan keluar. Pada masa kini jumlah pesakit semasa adalah seramai 6 orang.

Sehingga kini, ATM telah menempatkan 6 pegawai serta 53 anggota terdiri daripada 32 paramedik dan 21 anggota perkhidmatan sokongan.

Manakala, KKM terdiri daripada 10 jururawat dan 6 anggota perkhidmatan sokongan. Keseluruhannya, ATM dan KKM menempatkan petugas seramai 6 pegawai dan 69 staf di hospital medan berkenaan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply