Home Pertahanan dan Keselamatan Tentera Darat atur gerak pasukan perubatan ke Kapit

Tentera Darat atur gerak pasukan perubatan ke Kapit

by Nurulhuda

KUCHING, 7 Mei – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menubuhkan Hospital Medan ATM di Kapit bagi memberi bantuan perubatan kepada pesakit yang tidak berkaitan COVID-19 di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, Tentera Darat Malaysia (TDM) telah mengaturgerakkan anggota Kor Kesihatan Diraja (KKD) yang terdiri daripada 3 orang Pegawai Perubatan, seorang Pegawai Tugas Am dan 35 anggota paramedik, kuartermaster dan pemandu sebagai kumpulan pendahuluan bagi mengendalikan hospital tersebut.

Sel Perhubungan Raya, Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) dalam hantaran di media sosialnya berkata, kumpulan pendahuluan berkenaan berlepas dari Pangkalan Udara Kuching menuju ke Lapangan Terbang Sibu pada jam 2.55 petang Khamis.

“Kemudian mereka akan bergerak menuju ke Dewan Masyarakat Melayu Kapit kira-kira 5 kilometer dari Hospital Kapit yang akan dijadikan sebagai Hospital Medan ATM,” tambahnya.

Kumpulan berkenaan turut membawa bersama peralatan perubatan seperti katil, troli perubatan, set computer, peralatan X-ray, khemah, oksigen dan penghawa dingin mudah alih serta kelengkapan lain bagi memenuhi keperluan Hospital Medan ATM.

Hospital Medan ATM di Kapit ini akan membantu Hospital Kapit bagi mengendalikan sepenuhnya kes COVID-19 manakala, pesakit lain akan menerima rawatan oleh anggota pasukan perubatan tentera. –airtimes.my

Galeri Gambar:

Related Articles

Leave a Reply