Home Semasa COVID-19: Kerajaan laksana misi bawa pulang rakyat Malaysia dari India

COVID-19: Kerajaan laksana misi bawa pulang rakyat Malaysia dari India

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 7 Mei – Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan kerajaan akan melaksanakan misi repatriasi bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di wilayah utara dan barat India, susulan situasi gelombang kedua penularan pandemik COVID-19 di negara tersebut berada pada tahap amat membimbangkan.

Beliau berkata, misi repatriasi yang dilaksanakan ini adalah melalui Kementerian Luar Negeri bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan menggunakan pesawat sewaan khas dari Malaysia.

Selain rakyat Malaysia, misi ini juga akan membawa balik petugas Home Based Staff (HBS) serta tanggungan mereka daripada pelbagai agensi dengan pesawat tersebut.

Menurutnya, pesawat tersebut akan berlepas ke New Delhi dan Mumbai dalam masa terdekat sebaik sahaja urusan berkaitan termasuk kelulusan penerbangan daripada kerajaan India diperolehi.

“Penting untuk saya tegaskan, keputusan ini dibuat secara bersama melibatkan pelbagai agensi. Malah, keputusan ini turut mengambil kira maklumat hasil pemerhatian dan analisa yang dibuat oleh pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di India,

“Rakyat Malaysia yang dibawa pulang menerusi misi ini diwajibkan menjalani ujian COVID-19 sebelum berlepas dan sebaik tiba di Malaysia,

“Selain itu, mereka juga wajib menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Tambahnya, misi repatriasi kali ini tidak melibatkan wilayah selatan dan timur India memandangkan situasi di wilayah tersebut masih terkawal.

“Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai akan terus memantau situasi di wilayah berkenaan dan membuat penilaian berterusan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia di sana terus dijaga,” jelasnya.

Hishamuddin berkata, rakyat Malaysia di wilayah utara dan barat India yang berhasrat menyertai misi repatriasi ini, dinasihatkan mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai melalui e-mel [email protected] atau [email protected] selewat-lewatnya pada 7 Mei (Jumaat) jam 5 petang waktu India. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply