Home Pertahanan dan Keselamatan APMM perhebat rondaan, kawalan menjelang Aidilfitri

APMM perhebat rondaan, kawalan menjelang Aidilfitri

by Nurulhuda

KUALA PERLIS, 28 Apr – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis terus meningkatkan rondaan bagi membanteras jenayah maritim di perairan sempadan negara sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, seramai 47 orang pegawai dan anggota APMM Kuala Perlis dibekukan cuti bagi melaksanakan tanggungjawab menjaga sektor operasi yang berkeluasan 378.30 kilometer persegi dengan panjang pantai 19.45 kilometer atau 10.5 batu nautika termasuk 4 kawasan titik panas yang dikenal pasti menjadi lubuk salah laku jenayah.

Mohd Shafie berkata, pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih diberikan pada waktu puncak seperti ketika berbuka puasa dan solat tarawih berikutan trend aktiviti salah laku jenayah sering dilakukan pada waktu seperti ini.

“Ramadan kali ini, Zon Maritim Kuala Perlis memberikan tumpuan kepada kawasan sempadan negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan daun ketum, dadah, mercun, bunga api, barang-barang kawalan serta membendung pergerakan penyeludupan keluar masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran berikutan musim perayaan yang bakal disambut tidak lama lagi,

“Selain itu, program Kampung Angkat Maritim Malaysia yang dilaksanakan juga banyak membantu penguat kuasa dalam mengesan sebarang aktiviti mencurigakan dengan menjadi ‘mata dan telinga’ dalam menyalurkan maklumat perlakuan jenayah di laut kepada Agensi,” katanya dalam hantaran di media sosial rasmi APMM.

Pada masa yang sama, beliau turut menyeru masyarakat setempat untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut atau aktiviti yang mencurigakan ke talian kecemasan Maritim Malaysia. –airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply