Home Pertahanan dan Keselamatan Kebajikan veteran ATM terus dibela dan diperkasa – Ismail Sabri

Kebajikan veteran ATM terus dibela dan diperkasa – Ismail Sabri

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 27 Apr – Kementerian Pertahanan akan terus memperkasakan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan memastikan kebajikan mereka terus terbela serta dapat direalisasikan dengan sewajarnya.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan melalui Kementerian Pertahanan amat prihatin terhadap sumbangan dan jasa yang dicurahkan oleh veteran ATM.

“Pihak Kementerian Pertahanan sentiasa mencari inisiatif baru dan penambahbaikan ke atas skim-skim bantuan sedia ada dalam usaha memperkasakan kualiti hidup veteran ATM,” katanya sewaktu Majlis Perjumpaan dan Berbuka Puasa bersama Persatuan-persatuan Veteran ATM di Wisma Perwira, hari ini.

Beliau berkata, usaha-usaha tersebut telah dilaksanakan kementeriannya sejak bulan Mac tahun lalu.

“Sebanyak RM3.9 juta telah dibelanjakan sebagai bantuan kewangan secara one off bagi meringankan beban warga veteran dengan menggunakan 2 sumber kewangan iaitu RM3.01 juta dari dana kerajaan dan Yayasan Veteran sebanyak RM5.9 juta,

“Ianya meliputi pemberian Pingat Jasa Malaysia (PJM), Bantuan Hari Raya Aidilfitri serta Bantuan Prihatian Nasional kepada veteran ATM berpencen dan tidak berpencen,

“Program Cakna serta Majlis Ramah Mesra telah dilaksanakan di setiap negeri dan jumlah perbelanjaan sehingga 26 April 21 adalah berjumlah RM77,000,

“Penambahbaikan ke atas 2 skim bantuan seperti kenaikan kadar maksimum daripada RM5,000 kepada 10,000 bagi bencana alam serta perluasan skop kemasukan ke Universiti Awam kepada Institut Pengajian Tinggi Swasta yang terpilih,

“Bagi projek usaha sama Yayasan Veteran ATM (YVATM) dan syarikat Pasukhas Development melibatkan bangunan setinggi 51 tingkat dijangka memberi pendapatan kasar sebanyak RM3 juta setahun melalui sewaan pejabat dan dewan serbaguna,” ujarnya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan mengenai bantuan sebanyak RM250.00 bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri ini juga akan turut dipanjangkan kepada veteran ATM tidak berpencen mulai 6 Mei 21.

“Kementerian melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) akan terus bekerjasama dengan agensi awam dan swasta bagi membuka peluang kedua kepada veteran ATM untuk meningkatkan taraf hidup mereka,

“Persatuan-persatuan veteran ATM perlu menjalankan tugas secara profesional dan bergiat aktif dalam berpersatuan serta bekerjasama dengan JHEV demi memastikan perihal kebajikan warga veteran terus terbela,” tambahnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply