KUALA LUMPUR, 9 Jun – Penasihat Kehormat Media Tentera Rakyat, Datuk Ali Baharom menjelaskan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein perlu membantu golongan veteran dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh bekas-bekas tentera.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Ali Tinju berkata, para veteran tentera memerlukan sumber kewangan atau kenaikan pencen dengan adil memandangkan kos sara hidup pada masa kini kian meningkat.
“Kenyataan Datuk Seri Hishammuddin begitu longgar dan goyang dengan kejayaan himpunan aman bekas-bekas tentera (RU6622),
“Saya ucapkan terima kasih dengan jawapan tergesa-gesa beliau. Jika kita imbas kembali, bekas-bekas tentera mereka mahukan selaraskan pencen tahap kemiskinan dari orang lama hingga orang baru,
“Mereka menyuarakan tidak puashati terhadap pencen dan tahap kemiskinan. Kita pun tahu harga barang 3 bulan sekali naik dan sekarang 60 hingga 70 peratus daripada kenaikan tahunan pencen sebanyak 2 peratus,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.
Menurutnya, kini bekas-bekas tentera telah bangkit dan bersuara untuk menyatakan hak mereka.
“Apa yang disampaikan Hishammuddin terlalu tergesa-gesa. Saya peliklah jika dia (Hishammuddin) hanya menyatakan isu pencen untuk balu telah diselesaikan,
“Tapi pikirkanlah untuk keseluruhan bernama bekas tentera yang berpencen dan tidak berpencen untuk dinaikkan pencen,
“Terpulang kepada kerajaan, kita tengok kekuatan kerajaan memberi penghargaan kepada bekas tentera dan polis,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Ali Tinju berharap agar Menteri Kanan Pertahanan dapat mendengar dan menyelesaikan masalah isu kebajikan veteran ini dengan segera.
“Kami harap, Menteri Kanan Pertahanan boleh memanggil saya atau rakan-rakan di bawah Media Tentera Rakyat (MTR) untuk selesaikan secara rundingan, tidaklah gunakan demonstrasi,
“Saya harapkan Mindef guna kebijaksanaan untuk kita menyelesaikan secara rundingan, duduk meja bulat untuk mencari jalan penyelesaian,
“Bukan mengeluarkan kenyataan boleh menyinggung hati bekas-bekas tentera seperti mengugut-ugut. Kami tak pernah mengugut mereka pun, kami ada hak bersuara,
“Menteri jangan berkecil hati, Datuk Seri Hishammuddin, Ali Tinju sayang you tapi you dengarlah nasihat saya untuk kita bersama-sama selesaikan masalah yang dihadapi sekian lama oleh bernama bekas-bekas tentera dan bekas-bekas tentera sayang kerajaan sebenarnya,” tambahnya.
Isnin lalu, kira-kira 1,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari seluruh negara berkumpul di Tugu Negara bagi menyuarakan tuntutan supaya kerajaan membela kebajikan mereka.
Pengerusi bersama perhimpunan dikenali sebagai Reunion Veteran, Mejar (B) Mior Rosli Mior Mohd Jaafar mendakwa, sudah 8 tahun pihaknya berjuang untuk menegakkan tuntutan yang disifatkan sebagai ‘hak kumpulan pesara’.
Bagaimanapun, dakwanya semua tuntutan yang dibuat tidak mendapat perhatian daripada kerajaan.
Tuntutan itu ialah penyelarasan pencen, pemberian pencen kepada veteran yang tidak menerima pencen serta membuka ruang untuk beri pengampunan kepada veteran ATM supaya mereka dapat menerima pencen serta diiktiraf sebagai veteran. -airtimes.my