MERSING, 26 Apr – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Mersing berjaya menahan dua bot nelayan Vietnam bersama 19 kru termasuk tekong di kedudukan kira-kira 10 batu nautika timur laut dari Pulau Pemanggil, awal pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, kesemua mereka ditahan dalam operasi bersepadu Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Perikanan Malaysia kira-kira jam 2.00 pagi kerana menceroboh perairan Malaysia.
“Kedua-dua buah bot nelayan asing Vietnam itu dikesan dan ditahan kerana memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran,
“Kesemua 19 kru termasuk tekong kedua-dua bot berusia antara 18 hingga 52 tahun turut ditahan kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri,
“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran dari Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Khairul Nizam, dua bot serta 19 kru ditahan dan diiringi masuk ke Jeti APMM Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut.
“Kesemua tahanan juga telah menjalani saringan COVID-19 sebagai langkah berjaga-jaga dalam membendung penularan wabak yang sedang melanda,
“APMM memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pencerobohan vesel penangkapan ikan negara asing bagi mengaut hasil laut dalam perairan negara dan usaha mencegah penularan COVID-19 di Malaysia melalui perairan negara,” tegasnya. – airtimes.my
