Home Pertahanan dan Keselamatan Inisiatif bela kebajikan veteran ATM dipertingkatkan – Ismail Sabri

Inisiatif bela kebajikan veteran ATM dipertingkatkan – Ismail Sabri

by Nurulhuda

KUANTAN, 3 Apr – Kementerian Pertahanan sentiasa berusaha mempertingkatkan pelbagai inisiatif bagi memastikan agenda memperkasakan kebajikan dan kesejahteraan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaksanakan dengan jayanya.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementeriannya telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi mencapai hasrat tersebut.

“Antaranya inisiatif Kementerian Pertahanan adalah dengan penubuhan pusat perkhidmatan setempat atau one stop center Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) bagi menzahirkan perkhidmatan yang menyeluruh, cepat dan tepat serta memenuhi kehendak veteran ATM,

“Selain itu, kementerian juga berhasrat untuk mewujudkan mobile one stop center JHEV ATM ataupun lebih dikenali sebagai kaunter bergerak bagi memudahkan penyampaian perkhidmatan kepada Veteran ATM khususnya yang duduk di luar bandar,

“Ianya juga berupaya untuk melaksanakan lain-lain aktiviti bagi menjejaki veteran ATM seperti khidmat masyarakat, lawatan kebajikan dan lain-lain tanggungjawab sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) Peringkat Negeri Pahang, di salah satu hotel di Kuantan, hari ini.

Seramai 295 orang veteran ATM termasuk 9 balu tentera telah terpilih untuk menerima PJM pada kali ini.

Menurut Ismail Sabri, kementeriannya akan memperhebatkan program cakna veteran di seluruh negara menjelang tahun 2021 bagi menyeru veteran ATM yang masih belum mendaftar untuk mendaftar segera dengan JHEV supaya mereka boleh menerima bantuan daripada kerajaan.

“Kementerian Pertahanan juga telah memperuntukkan kuota sebanyak 30 peratus kepada anak veteran untuk belajar di Maktab Rendah Sains Mara Angkatan Tentera Malaysia (MRSM ATM) di Bera,

“Tawaran kemasukan ke Maktab Tentera Diraja juga turut dipanjangkan kepada anak veteran ATM melalui kuota khas Kementerian Pertahanan,

“Saya berharap agar segala usaha yang telah dilaksanakan ini mampu membantu veteran ATM bukan sahaja dari aspek sosioekonomi, malah dalam aspek kerohanian dan kesejahteraan hidup,” ujarnya.

Penganugerahan PJM telah dilaksanakan mulai 3 Mac 2004 yang merupakan satu pengiktirafan kepada anggota tentera di atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan dalam menyumbang kepada kebebasan negara daripada ancaman pengganas komunis.

Sehingga hari ini, terdapat 28,971 warga Veteran ATM telah menerima PJM manakala untuk baki veteran yang layak dan belum lagi dianugerahkan akan dijadualkan penganugerahannya pada masa-masa akan datang. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply