JAKARTA, 29 Mac – Ketua Polis Republik Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo mengesahkan 2 pengebom bunuh diri di Gereja Katedral Makassar di Sulawesi Selatan, semalam merupakan penyokong kumpulan Daesh dari kelompok jaringan Jamaah Ansharut Daulah (JAD).
Beliau berkata demikian ketika meninjau lokasi insiden bersama Panglima Tentera Negara Indonesia (TNI), Jeneral Hadi Tjahjanto, semalam.
“Terdapat dua pelaku yang terbunuh, seorang lelaki dan seorang wanita,
“Mereka anggota kumpulan JAD yang melakukan serangan bom di Pulau Jolo, Filipina,” ujarnya.
Portal berita Indonesia, Tribun News melaporkan, kedua-dua suspek dalam serangan itu berkait dengan 19 pengganas JAD yang ditahan di Sulawesi Selatan, sejurus selepas kejadian.
Menurut jurucakap polis, pihaknya masih memburu individu bernama Saefullah yang disyaki menjadi dalang dalam serangan itu kerana dipercayai bertanggungjawab mengarahkan 19 pengganas JAD yang ditahan.
Manakala, Presiden Indonesia, Joko Widodo menerusi laman media sosialnya meluahkan kekesalan dan mengutuk perbuatan tersebut.
“Saya mengutuk keras aksi terorisme tersebut dan saya memerintahkan polis untuk menyiasat dengan teliti si pelaku dan membongkar jaringan itu hingga ke akarnya,” kata Jokowi di laman Instagramnya.
Semalam, satu letupan di gereja Katolik utama Makassar berlaku kira-kira 10.28 pagi selepas penganut Kristian meraikan hari pertama Minggu Suci bagi agama itu.
Serangan tersebut telah mencederakan kira-kira 20 orang penganut Kristian.
Makassar merupakan sebuah bandar tersibuk di Indonesia dengan kira-kira 1.5 juta penduduk. – airtimes.my