Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan kapal tangki lakukan pelbagai kesalahan di Miri

APMM tahan kapal tangki lakukan pelbagai kesalahan di Miri

by Nurulhuda

MIRI, 21 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Miri telah menahan sebuah kapal tangki minyak yang mencurigakan di perairan Miri pada jarak lebih kurang 20 batu nautika barat laut dari Kuala Sibuti, semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md. Fauzi Othman berkata, penahan kapal tersebut dibuat oleh anggota rondaan APMM yang sedang melaksanakan Operasi Permai di kawasan tanggungjawab pada jam 8.05 pagi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut disyaki telah melakukan beberapa kesalahan, antaranya gagal mengemukakan sebarang dokumen kecuali ‘ship registry’, tiada ‘Domestic Ship License’ (DSL) , tiada pelepasan pelabuhan serta tiada Borang C.

“Kapal tersebut dalam pelayaran menuju ke Bintulu dengan dikendalikan oleh 3 kru termasuk tekong, yang kesemuanya warga Indonesia berumur lingkungan 31 hingga 34 tahun, memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,

“Kesemua kru, kapal serta anggaran diesel sebanyak 15,000 liter yang bernilai lebih kurang RM33,000.00 itu ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV), Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut,” katanya dalam hantaran di media sosial APMM Tanjung Manis.

Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Akta Kastam 1967 dan Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984.

MD. Fauzi berkata, pihaknya turut menggesa komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply