Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia akan menerima padah kerana cabar kedaulatan Korea Utara – Pyongyang

Malaysia akan menerima padah kerana cabar kedaulatan Korea Utara – Pyongyang

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Korea Utara hari ini mengumumkan Pyongyang telah memutuskan hubungan diplomatik secara penuh dengan Malaysia.

Keputusan itu diumumkan oleh pihak Kementerian Luar Korea Utara dalam satu kenyataan yang turut menuduh Putrajaya sengaja bersekongkol dengan Amerika Syarikat.

Menurutnya, tindakan Malaysia untuk mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara, Mun Chol Myong ke Amerika Syarikat sebagai satu jenayah yang tidak boleh dimaafkan.

“Kami telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia yang dilihat melakukan satu tindakan permusuhan besar dengan Korea Utara dan tunduk dengan tekanan Amerika Syarikat,

“Oleh itu, Malaysia akan bertanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang berlaku di antara kedua-dua negara,” kata kenyataan yang disiarkan di KCNA dan Voice of Korea.

Tambahnya, Putrajaya sepatutnya sedar bahawa Korea Utara dan Amerika Syarikat merupakan dua negara yang masih berada dalam situasi perang untuk lebih 70 tahun.

“Negara kami masih berada dalam keadaan perang dengan Amerika Syarikat untuk lebih 70 tahun – ianya merupakan satu realiti yang tidak boleh ditolak,

“Adalah mustahil untuk Malaysia tidak mengetahui perkara ini,” tegas kenyataan itu.

Pada masa yang sama, Pyongyang menegaskan tindakan mengekstradisi Mun Chol Myong sebagai satu tindakan mencabar kedaulatan Korea Utara.

Selain itu, mereka turut memberi amaran bahawa Malaysia akan menerima padah dan bertanggungjawab sepenuhnya dengan insiden terbaharu ini.

“Malaysia akan bertanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang berlaku di antara kedua-dua negara,” ujarnya.

Pada 9 Mac lalu, Mun Chol Myong gagal dalam rayuan terakhir untuk mencabar perintah ektradisi terhadapnya.

Beliau telah ditahan pada 2019 dan didakwa terlibat dalam gubahan wang haram serta membekalkan barang terlarang ke Korea Utara.

Mun Chol Myong merupakan warga negara Korea Utara yang pertama menjalani proses ekstradisi ke Amerika Syarikat.  – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply