Home Pertahanan dan Keselamatan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan terima 4,680 dos vaksin COVID-19

Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan terima 4,680 dos vaksin COVID-19

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=Nwb2LOKz2Cw[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HAT Mizan) mula menerima sebanyak 4,680 dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech bagi fasa pertama, hari ini.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Strategik Vaksin COVID-19, Brigedier Jeneral Datuk (Dr) Rosman Ab Rahman berkata, 4,680 vaksin tersebut akan diberikan kepada 2,340 petugas kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Vaksin tersebut adalah bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan khusus kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kakitangan Kementerian Pertahanan Malaysia (KKM) bagi fasa pertama.

Bekalan vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Pusat Simpanan Vaksin (PSV) 93 Depot Perubatan dan Pergigian Angkatan Tentera, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur. – Foto: AirTimes

Menurut beliau, selain petugas kesihatan ATM, anggota tentera yang bertugas di kawasan zon merah penularan COVID-19 dan mereka yang terlibat dalam Operasi Benteng (Op Benteng) dan Op Penawar turut terlibat dalam penerimaan fasa pertama ini.

“Ini adalah penghantaran pertama Vaksin COVID-19 kepada ATM daripada 6 penghantaran yang akan dilaksanakan secara berperingkat,

“Vaksin ini akan disimpan di 5 buah Pusat Simpanan Vaksin (PSV) ATM iaitu di 94 HAT Terendak, 96 HAT Lumut, HAT Wilayah Kota Kinabalu dan RSAT Kuching yang juga akan dihantar secara berperingkat mengikut perancangan yang telah ditetapkan oleh kerajaan,

“Secara keseluruhannya, ATM akan menerima 84,240 dos vaksin berkenaan yang akan diberikan kepada 42,120 anggota ATM dengan setiap anggota menerima dua dos suntikan. Daripada jumlah itu, seramai lebih 4,000 lebih petugas kesihatan ATM di seluruh negara diberi keutamaan untuk mendapat suntikan tersebut,” katanya.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Strategik Vaksin COVID-19 ATM Brig Jen Datuk Dr Rosman Abdul Rahman bersama Pengarah Farmasi Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM, Brig Jen Datuk Dr Ab Halim Basari bersama Pengarah Urusan DHL Julian Neo serta tiga wakil syarikat Pfizer.

Beliau berkata demikian ketika proses penerimaan penghantaran peringkat pertama dos vaksin COVID-19 untuk ATM di 93 Depot Perubatan dan Pergigian ATM (93 DPP AT), Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, pagi tadi.

Turut hadir, Pengarah Farmasi Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM, Datuk Dr Ab Halim Basari, Pengarah Urusan DHL Julian Neo serta tiga wakil syarikat Pfizer di Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 59 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) termasuk 5 adalah hospital yang digunakan sebagai PSV dan fasiliti kesihatan ATM di seluruh negara akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melaksanakan pemberian vaksin ini kepada anggota yang terlibat.

Anggota Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memasukkan vaksin COVID-19 ke dalam peti sejuk beku. Foto: AirTimes

“Kita akan menggunakan bantuan aset dari Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk proses penghantaran vaksin tersebut dengan memastikan ia terjaga dan selamat,

“Kita akan menguruskan segala keperluan dan anggota tentera yang terlibat akan datang secara berkala termasuk di kawasan operasi,” tambahnya.

Dr Rosman berkata, ATM juga akan membantu KKM untuk memberi suntikan vaksin kepada anggota pasukan barisan hadapan lain yang bertugas di Op Benteng termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Setiap PPV ini, bukan hanya petugas kesihatan ATM sahaja yang terlibat, tetapi terdapat juga sukarelawan yang akan membantu di kawasan tersebut,

“Semua petugas ATM, pekerja awam yang bekerja dengan ATM, keluarga anggota serta veteran ATM juga akan mendapat vaksin ini, cuma pembekalan vaksin ini dari KKM. Proses pemberian vaksin tersebut akan dibuat oleh petugas ATM,

Tambahnya, progam pemberian vaksin kepada keseluruhan warga ATM dijangka selesai pada Fasa Kedua program ini iaitu pada akhir bulan Ogos depan. –airtimes.my

Galeri Gambar:

 

Related Articles

Leave a Reply