Home Pertahanan dan Keselamatan Proklamasi darurat: ATM tidak ambil alih kuasa polis

Proklamasi darurat: ATM tidak ambil alih kuasa polis

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=WwCWDswJuxM[/embedyt]

 

GOMBAK, 1 Feb – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak mengambil alih tugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) setelah Yang di-Pertuan Agong berkenaan mengisytiharkan Proklamasi Darurat bagi membendung penularan wabak COVID-19 di dalam negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun Proklamasi Darurat diisytiharkan, kuasa tentera masih seperti dahulu iaitu membantu pihak polis.

“Apabila Ordinan Darurat diumumkan, ramai yang mempersoalkan tentang kuasa tentera sama dengan apa yang dilaksanakan oleh pihak polis,

“Seterusnya, kita mengambil pendekatan bahawa pihak PDRM yang berada di hadapan dan ATM di belakang untuk membantu pihak polis,

“Tugas kita (ATM) bukan mengambil alih tugas pihak polis, tetapi tugas kita hanya membantu pihak polis menguatkuasakan undang-undang,” katanya dalam sidang media selepas membuat tinjauan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Plaza Tol Gombak, hari ini.

Anggota tentera dari Skuadron Istiadat Berkuda (SIB) membantu anggota polis dalam Sekatan Jalan Raya di Sentul bagi menguatkuasakan SOP PKP. Foto: AirTimes/Azuwan

Ismail Sabri menjelaskan, fokus utama ATM pada masa kini adalah dalam melaksanakan Operasi Benteng (Op Benteng) bagi menjaga persempadanan negara dari dicerobohi pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki negara.

“Op Benteng dibawah kelolaan National Task Force (NTF) dan diketuai oleh ATM. Tugas mereka adalah untuk menjaga sempadan negara serta menghalang kemasukan PATI ini selain mengekang penularan wabak COVID-19 di dalam negara,” tambahnya.

Beliau turut menjelaskan, sehingga kini seramai 3,562 anggota ATM terlibat di dalam penugasan SJR dan Unit Kereta Peronda (MPV) serta Tim Pematuhan bagi membantu PDRM.

“Seramai 3,027 anggota telah ditugaskan untuk membantu SJR manakala rondaan MPV dan Tim Pematuhan seramai 535 anggota di seluruh negara,

“Sejak mula PKP dilaksanakan pada tahun lepas, anggota ATM telah membantu pihak PDRM di SJR dan Task Force Pematuhan di bawah PDRM,

“Pasukan ini akan membuat pemeriksaan pematuhan SOP di pasaraya, tempat-tempat tumpuan awam dan SJR di kawasan rentas negeri dan daerah,” jelasnya.

 

Terdahulu, Ismail Sabri membuat tinjauan SJR di Sentul dan Plaza Tol Gombak, selain turut menyerahkan sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan.

Seramai 3 pegawai dan 90 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) daripada Skuadron Istiadat Berkuda (SIB) bawah naugan Markas Briged Ke-12 Infantri Malaysia (12 Briged) telah ditugaskan setiap hari di 8 SJR bagi membantu anggota PDRM di sekitar ibu negara.

Turut hadir, Ketua Setiausaha, Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Tarawe. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply