Home Pertahanan dan Keselamatan ATM sedia bina hospital medan tampung pesakit COVID-19

ATM sedia bina hospital medan tampung pesakit COVID-19

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia untuk mewujudkan hospital medan sekiranya jumlah pesakit COVID-19 di dalam negara meningkat.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, buat masa ini hospital medan terbesar ATM di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) mempunyai 10,000 buah katil.

“Seperti mana kita semua tahu, kes COVID-19 semakin meningkat dengan mendadak,

“Buat masa ini, ATM bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di mana fasiliti untuk pusat kuarantin adalah usaha sama bersama KKM. Kita (ATM) tidak menyediakan hospital secara sendiri,

“Kebanyakkan mereka (pesakit COVID-19) adalah orang awam. Dari mula pandemik berlaku, pihak ATM telah memberi kerjasama kepada KKM dengan memberi mereka segala keperluan dan pertolongan termasuk aset, peralatan dan juga anggota perubatan,

“Berkemungkinan besar KKM akan menambah lagi (hospital medan) jika peningkatan kes berterusan dan kapasiti di MAEPS tidak dapat menampung pesakit sedia ada,” katanya.

Affendi berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Monumen dan Peletakan Plaka Old Putera (OP) 78 di Maktab Tentera Diraja Sungai Besi, hari ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang ketika merasmikan Monumen dan Peletakan Plaka Old Putera (OP) 78 di Maktab Tentera Diraja Sungai Besi, hari ini. Foto: Markas ATM

Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad dan Komander Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF), Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah.

Mengenai situasi banjir yang melanda beberapa negeri, Affendi mengulas, ATM sedia menambah jumlah anggota dan aset untuk dikerah bagi membantu operasi banjir sekiranya keadaannya bertambah teruk.

“Buat masa ini, anggota dan aset yang ada mencukupi untuk menangani situasi banjir,

“Jika (banjir) menjadi lebih teruk, kita akan menambah jumlah keanggotaan dan aset ATM,”ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply