Home Pertahanan dan Keselamatan COVID-19: Misi pengaman MALBATT di Lubnan tetap diteruskan – Ismail Sabri

COVID-19: Misi pengaman MALBATT di Lubnan tetap diteruskan – Ismail Sabri

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=nRGnP1xXO54[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Kerajaan Malaysia akan tetap meneruskan misi Pasukan Pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan walalaupun seluruh dunia kini dilanda wabak pandemik COVID-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan MALBATT di Lubnan akan meneruskan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) dengan penuh komitmen mengikut mandat yang diberikan.

“Misi MALBATT di Lubnan akan diteruskan kerana ia adalah komitmen negara kepada PBB yang kita akan teruskan. Oleh kerana penularan COVID-19, maka tentera kita yang bertugas di Lubnan juga perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan Lubnan,

“Anggota tentera (Angkatan Tentera Malaysia) akan tetap meneruskan tugas tidak kira waktu walau ketika COVID-19, mereka akan terus bekerja, begitu juga di Lubnan akan bertugas seperti biasa,

“Kerajaan juga akan membekalkan kelengkapan termasuk pelitup muka kepada tentera kita di sana,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Peralatan Perlindungan COVID-19 kepada Kontijen MALBATT 850-8 di Wisma Pertahanan, hari ini.

Sebanyak 1 juta keping pelitup muka telah disumbangkan oleh Yayasan Dutamas Hijau kepada Kementerian Pertahanan untuk diagihkan kepada pelajar dan penduduk di Lubnan.

Beliau berkata, anggota MALBATT akan melaksanakan program jiwa murni bagi mengagihkan pelitup muka kepada pelajar sekolah dan penduduk yang memerlukan di sekitar kawasan Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin, Lubnan.

Ismail Sabri menambah, anggota pasukan MALBATT tidak akan terlibat dengan kerajaan Lubnan dalam mengekang penularan wabak COVID-19 di negara tersebut, tetapi lebih fokus kepada menjaga keselamatan di kawasan tanggungjawab yang telah ditetapkan.

“Anggota ATM di Lubnan tidak terlibat dalam membasmi COVID-19 di sana, ATM hanya jaga situasi keselamatan rakyat di Lubnan, sekiranya ada sekatan jalan raya pun, kita (ATM) tidak terlibat,” tambahnya.

Selain Yayasan Dutamas, Syarikat The Pine Villa Sdn Bhd bersama beberapa syarikat usahasama lain turut menyumbangkan sebanyak 50,000 keping pelitup muka jenis KN95; 3,000 helai peralatan perlindungan diri (Isolation Gown Set); 1000 helai apron dan 60 botol (5 liter) cecair pembasmi kuman (Pro Act 8+).

Sumbangan ini adalah bagi kegunaan petugas-petugas barisan hadapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mengekang penularan wabak COVID-19.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Seri Affendi Buang TUDM.–airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply