Home Pertahanan dan Keselamatan Rakyat tempatan jadi tali barut bawa masuk PATI di Sabah – Hamzah

Rakyat tempatan jadi tali barut bawa masuk PATI di Sabah – Hamzah

by Azura Daril

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Menteri Dalam Negeri, Datuk Hamzah Zainuddin mendedahkan terdapat tali barut dari kalangan rakyat tempatan yang melaporkan kedudukan aset-aset pasukan keselamatan kepada tekong laut sehingga menyebabkan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini terutama di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, kewujudan tali barut dalam kalangan rakyat tempatan ini menjadi punca utama pergerakan masuk PATI ke kawasan perairan Sabah sukar dikawal dan dikesan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan Datuk Donald Peter Mojuntin berkaitan cabaran-cabaran utama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (ESSCOM) dalam mengawal kemasukan PATI daripada Filipina di pantai Timur Sabah pada Sidang Dewan Negara, hari ini.

Hamzah berkata, terdapat beberapa cabaran lain yang dihadapi dalam menangani isu PATI antaranya kedudukan geografi pantai timur Sabah yang berhampiran dengan kepulauan di selatan Filipina dan Indonesia.

“Faktor ini telah membuka ruang kepada pelbagai bentuk ancaman dari segi jenayah rentas sempadan termasuk melibatkan pencerobohan PATI, kegiatan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan,

“Keluasan persisir pantai timur Sabah yang bermula dari daerah Kudat hingga ke Tawau adalah sepanjang 2344.6km yang merupakan satu kawasan yang amat panjang

“Kewujudan 307 pulau di kawasan tersebut yang terlalu banyak turut membolehkan PATI daripada selatan Filipina dengan mudahnya bersembunyi terlebih dahulu untuk mengelak dikesan sebelum memasuki negara,” jelasnya.

Selain itu, pertalian antara penduduk Sabah dan Filipina turut menjadi penyebab kepada pergerakan keluar masuk yang telah berlaku sejak sekian lama yang menjadi kebiasaan atau amalan masyarakat setempat. Begitu juga di antara Sabah dan Indonesia.

Hamzah menegaskan, kerajaan akan terus komited untuk mengoptimumkan jaringan keselamatan di Kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dengan mempertingkatkan kemampuan pasukan keselamatan khususnya dari segi keupayaan keanggotaan dan perolehan peralatan serta kelengkapan yang canggih serta terkini. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply