KUALA LUMPUR, 18 Dis – Seramai 34 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) yang dijalankan pasukan keselamatan secara bersepadu bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan keselamatan juga telah melaksanakan sebanyak 118 Sekatan Jalan Raya (SJR) semalam.
“SJR tersebut melibatkan Op PENAWAR gabungan ATM, PDRM dan RELA (47), Op Benteng PDRM (62) dan Op Benteng AKSEM (9).
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong-lorong tikus,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Selain itu, pasukan Task Force Operasi Pemantauan yang diketuai PDRM turut menahan 170 individu kerana melakukan kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kesemuanya telah dikompaun.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP iaitu gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (96) tidak memakai pelitup muka (50) gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (17) aktiviti pusat hiburan (6) dan lain-lain (1),
“Operasi bersepadu melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM),” ujarnya.-airtimes.my