[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=jbEMx2AmP08[/embedyt]
KUALA TERENGGANU, 18 Dis – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) negeri Terengganu berjaya menahan sebuah bot nelayan Vietnam menceroboh perairan Terengganu dan tiga kru termasuk tekong kira-kira 133 batu nautika dari Kuala Terengganu dalam Op Kuda Laut, semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, bot tersebut dikendalikan nelayan warga Vietnam berumur antara 28 hingga 30 tahun.
“Mereka yang ditahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta tidak memiliki sebarang kebenaran melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia,
“Pemeriksaan lanjut menemui hasil tangkapan laut, bekalan diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan keseluruhan bernilai hampir RM1.5 juta,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Muhammad Suffi berkata kesemua tahanan dibawa ke Maritim Malaysia Terengganu bagi proses saringan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.
“Proses membawa balik bot dan kru mengambil masa lebih 24 jam untuk tiba di Jeti Maritim Terengganu, berikutan cuaca buruk di musim tengkujuh ini,
“Kes ini akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong dan kru tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” ujarnya.
Menurut Muhammad Sufi, sejak Op Kuda Laut dilancarkan pada Jun 2020, APMM Terengganu telah berjaya menahan dan menangkap sebanyak 61 bot nelayan asing Vietnam serta 699 kru termasuk tekong. – airtimes.my