Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan bot tunda dan barge belayar tanpa pas pelabuhan di Kuching

APMM tahan bot tunda dan barge belayar tanpa pas pelabuhan di Kuching

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 14 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Manis menahan sebuah bot tunda dan barge yang berlayar tanpa pas pelepasan pelabuhan dari Kuching ke Sibu, semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mohd Ariz Md Kassim berkata, semasa APMM membuat rondaan menerusi Operasi Permai (Op Permai) telah menahan bot dan barge tersebut yang menghala ke Sibu di perairan Belawai pada jarak lebih kurang 0.9 batu nautika Tenggara Tanjung Jerijih, sekitar jam 4.30 petang.

“Seramai 6 orang kru berumur lingkungan 20 hingga 65 tahun turut ditahan, 2 daripadanya warga tempatan, manakala 4 lagi warga India yang memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,

“Hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen pas Pelepasan Pelabuhan (Port Clearance) semasa pelayaran,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial rasmi APMM.

Tambahnya, bot tunda, barge dan kru tersebut diiring ke Jeti HSL Tanjung Manis untuk siasatan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 37 (1) Akta Kastam 1967 kerana gagal mengemukakan dokumen Pas Pelepasan Pelabuhan (Port Clearance) semasa pelayaran,”ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply