Home Pertahanan dan Keselamatan ESSCOM tahan wanita Indonesia seludup barang keperluan tanpa permit ke Tawau

ESSCOM tahan wanita Indonesia seludup barang keperluan tanpa permit ke Tawau

A+A-
Reset

TAWAU, 8 Dis – Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya menahan seorang wanita warga Indonesia disyaki cuba membawa masuk barang-barang keperluan harian di perairan Muara Sungai Tawau Lama, Batu 3 tanpa permit yang sah, awal pagi semalam.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, wanita berusia 43 tahun tersebut ditahan ketika dalam perjalanan dari negara jiran dengan menaiki sebuah jongkong.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat penyeludupan, sepasukan anggota keselamatan yang terdiri dari Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diketuai oleh ESSCOM sedang dalam rondaan Op Cegah Pati (OCP) daratan telah diatur gerak ke lokasi kejadian kira-kira jam 3.00 pagi.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pasukan keselamatan telah mengesan dan menahan sebuah jongkong yang sarat dengan muatan barang-barang disyaki cuba diseludup masuk ke negara ini,

“Pemeriksaan lanjut terhadap jongkong menemui seorang wanita berada di dalam jongkong bersama dengan barangan seludup tersebut manakala juragannya bertindak melarikan diri dengan terjun ke laut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fuad berkata, siasatan lanjut mendapati wanita berkenaan mengakui cuba membawa barangan tersebut tanpa sebarang permit atau surat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.

“Antara barangan yang dirampas 20 kotak gula merah Indonesia, 1 kotak perikuk kukus, 12 buah kuali kawah, 6 kotak kuali aluminium, 1 karung penyapu, 1 karung kain baju daster, 9 karung beras pulut hitam, 4 karung cheddar cheese, 8 karung serbuk kuku bima, 2 karung sambal pechal, 2 karung serbuk cincau, 6 karung serbuk minuman pop ice, 3 karung kertas tembakau, 14 karung perasa masakan masako dan 1 karung batang kayu penyapu,

“Turut dirampas perahu kayu jenis jongkong bersama enjin sangkut yamaha 40 kuasa kuda dengan nilai keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM40,000.00,” katanya.

Beliau berkata wanita tersebut bersama barang-barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Tawau untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat dibawah seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, Ahmad Fuad menyeru kepada semua lapisan masyarakat khususnya komuniti pesisir pantai agar sentiasa memberikan kerjasama termasuk menjadi mata dan telinga kepada pasukan keselamatan dengan melaporkan sebarang aktiviti jenayah di kawasan masing-masing. – airtimes.my

KATA KUNCI : Angkatan Tentera Malaysia (ATM)ESSCOMIndonesiaPDRMSabahTawau

Leave a Reply