Home Pertahanan dan Keselamatan Media China dedah kelemahan pangkalan tentera di Kepulauan Spratly

Media China dedah kelemahan pangkalan tentera di Kepulauan Spratly

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Kawasan pulau yang diduduki oleh tentera China di Kepulauan Spratly didakwa terdedah kepada sebarang serangan ketenteraan.

Laporan media China turut menyatakan kawasan terbabit dikatakan tidak memberi sebarang peranan yang penting untuk melaksanakan misi ketenteraan.

South China Morning Post (SCMP) dalam satu laporan berkata, artikel majalah pertahanan China turut mendedahkan beberapa kelemahan negara kuasa besar Asia itu di kawasan pulau Laut China Selatan.

“Antara kelemahan yang ketara adalah jarak dari tanah besar, saiz yang kecil, had keupayaan lapangan terbang dan ianya terdedah kepada serangan dari pelbagai sudut,” kata artikel itu.

China telah menduduki beberapa pulau di kawasan Laut China Selatan bagi memperkukuhkan tuntutan 9-dash line mereka.

Majalah terbitan China State Shipbuilding Corporation turut memberikan amaran bahawa tentera laut negara itu masih belum mencapai tahap ofensif yang dikehendaki.

“Pulau yang diduduki sudah tentu memberikan kelebihan kepada China untuk memperkukuhkan kedaulatan serta mempertingkatkan kehadiran tenteranya di kawasan laut,

“Namun, pulau-pulau ini mempunyai kelemahan yang ketara dari sudut pertahanan,

“Kedudukan yang jauh serta tiada jaringan kukuh antara kawasan kepulauan ini dengan tanah besar akan menyukarkan China untuk memberi tindak balas sekiranya diserang,

“Sekiranya Fiery Cross Reef diserang, China perlu mengambil masa 20 jam untuk tiba ke lokasi tersebut,” jelasnya.

Shenyang J-16 merupakan jet pejuang Tentera Udara China yang dibangunkan dari platform Sukhoi Su-30.

Artikel tersebut turut menyatakan kehadiran pesawat pejuang pelbagai peranan J-16 di kawasan perairan tersebut tidak memberikan sebarang kesan yang signifikan.

“Jet pejuang J-16 tidak mampu untuk melakukan rondaan kerana ianya terdedah kepada serangan oleh pesawat musuh atau kapal di permukaan,

“Kemudahan sedia ada tidak mampu untuk mencapai tempo operasi udara yang diharapkan kerana ianya mampu menampung sebuah pesawat pada satu masa,

“Sekiranya sebuah pesawat mendarat serta mengisi minyak, pesawat lain perlu berada di udara dan hanya dibenarkan mendarat sekiranya pengisian di landasan selesai,” katanya.

Artikel tersebut turut menyatakan China terdedah kepada serangan dari pelbagai sudut terutamanya jika Amerika Syarikat memberikan sokongan kepada Filipina atau Malaysia.

“Pulau-pulau ini akan terdedah kepada serangan dari kawasan Timur melalui Pulau Palawan dan dari kawasan Selat Melaka di bahagian Barat,” tegasnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply